Saturday 18 February 2012

GOLONGAN OKU, PERMATA KELUARGA



OKU.....Azizah dan John Teo menyampaikan sumbangan kepada seorang OKU.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah meminta agar masyarakat memberi perhatian yang wajar kepada insan istimewa Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya OKU perlu mendapat layanan yang baik dalam semua sudut termasuk membimbing mereka menjadi insan yang boleh berdikari dan mampu menyumbang sesuatu dalam sebuah kehidupan.

“Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat. Mereka tidak minta dilahirkan dalam keadaan demikian justeru kita yang perlu memberi perhatian serius terhadap mereka bagi memastikan mereka bukan sahaja terbela malah kita berharap mereka juga akan dapat berdikari untuk menjalani kehidupan ini,” katanya pada majlis Sambutan tahun Baru Cina di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Penyu di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing, Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmond Teo, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kkebajikan Am (JPKA) Sabah, Etong Terang, Ketua Daerah Kuala Penyu, Raymond Insi, Pegawai Kebajikan Masyarakat Beaufort, Rokiah Salleh dan Pengerusi PDK Kuala Penyu, Justine Bius.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu berkata kerajaan sentiasa membela golongan OKU dengan melaksanakan pelbagai program termasuk menambah PDK di kawasan-kawasan yang memerlukan.

BANTUAN.....Azizah menyampaikan bantuan kepada OKU di majlis Sambutan tahun Baru Cina di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Penyu, baru-baru ini.

KENANGAN......Azizah dan John Teo merakamkan gambar kenangan bersama OKU Kuala Penyu.

SUMBANGAN Azizah menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Justine bagi pihak PDK Kuala Penyu.

“Sehingga kini sebanyak 28 PDK beroperasi di seluruh Sabah dan pihak kita akan menambah beberapa PDK lagi bagi menampung keperluan.

Selain daripada program pemulihan, katanya PDK juga memberi peluang pekerjaan melalui latihan bengkel disamping mewijudkan PDKnet yang memberi pendedahan IT kepada golongan OKU,” katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah telah merancang untuk menambah bilangan OKU melalui pendaftaran Online dan mempromosi produk OKU.

Sehubungan itu katanya, usaha berterusan kerajaan dalam membantu golongan OKU mestilah mendapat sokongan masyarakat bagi memastikan segala bantuan yang disalurkan akan menepati sasaran dan keperluan.

“Oleh itu saya amat berharap agar ibu bapa yang mempunyai anak OKU yang masih belum berdaftar mengambil tindakan segera untuk mendaftarkan mereka bagi memudahkan pihak kerajaan menyalurkan sebarang sumbangan,” katanya sambil memakulmkan sebanyak RM206,874.00 bantuan kebajikan telah disalurkan kepada 889 penduduk di sini.

Pada majlis itu Azizah menyampaikan bantuan sebanyak RM5,000.00 daripada kementeriannya untuk kegunaan PDK Kuala Penyu.

Majlis yang diserikan dengan persembahan tarian singa itu turut menyaksikan Azizah menyempurnakan upacara memotong kek bersama OKU Kuala Penyu yang hadir.

Selain itu beliau juga menyampaikan bantuan dan kerusi roda kepada golongan OKU.

No comments:

Post a Comment