Thursday 9 February 2012

HAPUSKAN MAKHLUK PEROSAK DALAM KERAJAAN?



VIDEOKLIP SABAH FOR SALE

Saudara Pengarang,

SAYA, Hj Maharaja Ab Raup bin Mahajud (kiri), Ketua Pewaris Pulau Sipadan mohon pembelaan daripada rampasan hak adat kami di Pulau Sipadan yang cuba dirampas oleh 'Perosak Kerajaan' yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum zaman penjajahan lagi yakni di zaman Kesultanan Sulu, nenek-moyang kami memang telah menjaga Pulau Sipadan serta memungut hasil telur penyu di pulau itu sebagai sumber kehidupan.

Pada zaman penjajahan British pun, aktiviti pemungutan telur penyu oleh nenek-moyang kami di Pulau Sipadan diteruskan dan Kerajaan British memberi Lesen Memungut Telur Penyu di Pulau Sipadan pada tahun 1916.

Walaupun Kerajaan British ada meletakkan pewartaan di Pulau Sipadan pada tahun 1933 sebagai kawasan perlindungan burung namun Kerajaan British tidak pernah menghalang nenek-moyang kami meneruskan aktiviti pemungutan telur penyu di Pulau Sipadan.

Hak adat ini terus diperakui melalui penyambungan Lesen Memungut Telur Penyu oleh Kerajaan British pada 05 Julai 1957.

Selepas Sabah merdeka, Pihak Kerajaan terus memperakui hak warisan kami memungut telur penyu di Pulau Sipadan dengan membuat penyambungan perjanjian bertarikh 5 Julai 1957.

Pada masa pertikaian kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Indonesia, bapa saudara saya, Maharaja Alukan bin Kaneh telah membantu Malaysia dengan menyediakan dokumen tentang sejarah mengenai hal ehwal Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan. Rujuk surat panggilan saksi Pejabat Residen Tawau bertarikh 15 Januari 1975.

Bapa saudara saya telah mendapat penghargaan daripada Datuk A. Watson Pengerusi Jawatankuasa Penyiasat melalui surat bertarikh 28 Febuari 1975.

Pada 04 November 1993, Pewaris Pulau Sipadan telah menukar kegiatan di Pulau Sipadan daripada memungut telur penyu kepada kegiatan industri pelancongan dan membuat perjanjian dengan tiga syarikat pelancongan iaitu Borneo Divers and Sea Sports (Sabah) Sdn Bhd, Pulau Sipadan Resort & Tours Sdn Bhd dan Sipadan Dive Centre Sdn Bhd yang disaksikan oleh Kementerian Pelancongan Sabah dan membenarkan tiga syarikat pelancongan itu menjalankan aktiviti pelancongan di Pulau Sipadan.

Sebelum perjanjian itu tamat pada tahun 1997, saya telah cuba untuk menyambung perjanjian dengan Operator Pelancongan terbabit tetapi mula mendapat halangan dan tentangan. Pelbagai alasan diberikan oleh pihak yang terlibat. Kami ada mengadu masalah ini kepada Wakil Rakyat kami Datuk Hj Nasir bin Tun Hj Sakaran namun gagal beroleh penyelesaian.

Surat wakil rakyat kami, Datuk Hj Nasir bin Tun Hj Sakaran telah dibalas oleh Bahagian Keselamatan Negera Negeri Sabah pada 29 Sep 1999. Menjadi tanda tanya kepada kami, Mengapa pula pihak BKN Negeri Sabah mempunyai kuasa untuk mengawalselia pembangunan dan industri pelancongan di Pulau Sipadan walhal Pulau Sipadan mempunyai Pewaris yang sah dan hak adat kami dilindungi oleh undang-undang.

Setelah pelbagai usaha yang dilakukan untuk menyambung perjanjian dengan Operator Pelancongan gagal untuk mendapat kejayaan, kami sekeluarga telah berbincang dan mencapai kata sepakat meneruskan semula aktiviti pemungutan telur penyu di Pulau Sipadan seperti mana yang telah dilakukan oleh nenek-moyang kami sebelum ini sebagai sumber kehidupan.

Bagaimanapun usaha kami itu mendapat halangan daripada Pihak Kerajaan. Kami dimaklumkan hak adat Pewaris di Pulau Sipadan perlu mendapat pengiktirafan daripada Mahkamah Syariah barulah ia diperakui oleh Pihak Kerajaan.

Berkat usaha gigih dan dengan izin Tuhan yang maha kuasa hak warisan kami di Pulau Sipadan telah diperakui melalui Perintah Mahkamah Syariah Tawau pada tahun 1998.

Apabila hak adat kami di Pulau Sipadan diiktiraf oleh Mahkamah Syariah Tawau, saya dan beberapa ahli keluarga waris masuk ke Pulau Sipadan untuk memungut telur penyu. Setiba di Pulau Sipadan kami telah dihalang dan dilarang masuk ke Pulau Sipadan oleh Pihak Keselamatan dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Kami diberitahu aktiviti pemungutan telur penyu di Pulau Sipadan tidak boleh lagi dilakukan kerana Pulau Sipadan telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Penyu oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Haji Sakaran bin Dandai pada tahun 1997.

Selain itu juga, Pihak Keselamatan turut memberitahu bahawa Pulau Sipadan telah diletakkan dibawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Tiada sesiapa boleh dibenarkan masuk kecuali mendapat kebenaran daripada Bahagian Keselamatan Negara. Sesiapa yang berada di kawasan larangan tanpa ada kebenaran mereka boleh ditembak.

Melihat kepada ancaman keselamatan dan halangan ini, saya berserta ahli keluarga waris yang lain terpaksa berbincang dan mengambil keputusan meninggalkan Pulau Sipadan atas faktor keselamatan.

Kejadian yang menimpa di Pulau Sipadan cukup memberi tamparan hebat kepada kami Pewaris. Sungguh tidak disangka Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran bin Dandai Pemimpin Masyarakat Semporna dan mengenali keluarga pewaris Pulau Sipadan dengan lebih dekat boleh bertindak sedemikian rupa.

Jika di zaman Penjajah British, mereka boleh menghormati hak adat setempat terbukti dengan penggubalan dalam Undang-Undang Borneo Utara mengecualikan Pulau Sipadan daripada kutipan cukai dan mengiktiraf Pulau tersebut sebagai kawasan pemungutan telur penyu untuk hak adat.

Malah Kerajaan Malaysia juga turut menggunakan fakta sejarah ini di Mahkamah Dunia sehingga berjaya bagi membuktikan wujud pewaris di Pulau Sipadan dan pentadbiran oleh Kerajaan British.

Saya telah membuat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku di Pulau Sipadan itu. Bermula daripada penentangan Bahagian Keselamatan Negara Negeri Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah saya cuba mempertahankan hak adat kami di Pulau Sipadan untuk tidak hilang dirampas oleh Kerajaan Barisan Nasional yang zalim.

Saya telah mendapatkan khidmat beberapa Peguam untuk membawa kes ini ke Mahkamah tetapi tidak berjaya sehinggalah saya berjumpa dengan Peguam Yunof Maringking & Co. Peguam Yunof Maringking telah mengambil kes saya dan didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada tahun 2006.

Setelah hampir tiga tahun berjuang dalam Mahkamah akhirnya Hakim Dato Albert Linton memberikan keputusan pada tahun 2009 yang mengiktiraf hak adat Pewaris di Pulau Sipadan dan memerintahkan Pihak Kerajaan membayar pampasan kerugian.

Sehingga kini, walaupun proses pengiraan bayaran pampasan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Zulkifli bin Ablah telah lama selesai dan sijil untuk pembayaran telah dikeluarkan malah Hakim YA Dato' Abdul Rahman bin Sebli dalam keputusan penghakimannya terhadap rayuan Kerajaan juga turut memutuskan Kerajaan patut membayar pampasan kepada Pewaris.

Anehnya, Kerajaan masih tetap ingkar dan melanggar undang-undang. Saya tidak akan berhenti daripada terus berjuang dalam mempertahankan hak adat kami di Pulau Sipadan.

Selain itu, kami juga telah mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara di Sabah dan Taman-Taman Sabah untuk dilibatkan dalam industri pelancongan di Pulau Sipadan seperti mana Operator Pelancongan yang lain namun mendapat jawapan yang menghampakan.

Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya memberitahu mereka tidak terlibat dengan industri pelancongan di Pulau Sipadan. Sungguh menghairankan kerana sehingga kini, saya mendapat maklumat Majlis Keselamatan Negara memperoleh bayaran daripada kemasukan pelancong untuk menyelam ke Pulau Sipadan dan MKN yang bertanggungjawab mengeluarkan permit kemasukan pelancong ke Pulau Sipadan.

Selaku Pewaris sah Pulau Sipadan, kami mohon pembelaan untuk menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan Perosak Kerajaan. Kami tidak akan teragak-agak membawa isu ini ke peringkat antarabangsa jika perkara ini tidak diselesaikan dengan sempurna.

Salam Hormat,

HJ MAHARAJA AB RAUP BIN MAHAJUD

15 comments:

  1. Pemungutan Telur Penyu walaupun merupakan sumber kehidupan penjaga Pulau Sipadan, tapi aktiviti ini sudah dilarang kerana penjualan telur penyu ini akan menyebabkan penyu kita semakin pupus.

    ReplyDelete
    Replies
    1. memungut telur penyu menyebabkan spesis penyu makin pupus kerana itulah ia dilarang.

      Delete
  2. Saya sememangnya tidak setuju dengan perbuatan jual beli telur penyu, harap aktiviti ini akan dipantau dengan tegas.

    ReplyDelete
  3. banyak lagi kegiatan lain mereka boleh lakukan selain memungut telur penyu.

    ReplyDelete
  4. Penyu adalah habitat yang semakin pupus dan salah di sisi undang2 kepada mereka yang menjual dan membeli telur2 penyu.

    ReplyDelete
  5. Lindungi la penyu2 tu supaya generasi akan datang masih dapat melihat penyu

    ReplyDelete
    Replies
    1. I strongly supported this statement, we should conserve the sea turtles for the sake of our next generation.

      Delete
  6. tuntutan2 seperti ini memerlukan bukti yang kukuh. kalau setakat lisan saja mengatakan bahawa dia ada hak di pulau tersebut memang susahlah.

    ReplyDelete
  7. apapun semoga Hj Maharaja mendapat balik apa yang sepatutnya menjadi hak mereka.

    ReplyDelete
  8. Mungkin ini bagi memastikan kepupusan Penyu tidak akan dihadapi di Pulau tersebut. Tambahan lagi kalau permintaan yang banyak terhadap telur tersebut maka pencari terpaksa mengambil dengan banyak juga. Maka ini akan menyebabkan penyu itu tidak ada waris seterusnya. Penyu bertelur bukannya setiap hari tapi dalam masa yang lama.

    ReplyDelete
  9. cuba bandingkan pulau sipadan dulu dan kini.. adakah itu yang dikatakan perosak??

    ReplyDelete
  10. In the past, there are no emphasis on conservation efforts.

    ReplyDelete
  11. But given the presence stance of the State government which is by the way are hard line and support aggressively in the conservation efforts in the Sate of sabah, how can you say that they are 'perosak'?

    ReplyDelete
  12. From a conservationist perspective, this so-called time honored tradition is deemed destructive to the survival of these turtle.

    ReplyDelete
  13. Kesedaran untuk memelihara dan memulihara spesies yang terancam adalah sangat penting.

    ReplyDelete