Saturday 18 February 2012

HARUSSANI JADI ALAT POLITIK UMNO?



Oleh : AZMAN ARIFFIN

BANYAK pihak pelik apa tujuan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria membangkitkan soal lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke kuil Batu Caves sempena perayaan Thaipusam yang lepas?

Di Malaysia, bukanlah satu yang luar biasa untuk orang Islam hadir ke dalam majlis keagamaan kaum lain seperti itu. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri telah beberapa kali hadir ke majlis melibatkan perayaan Buddha oleh masyarakat Siam di Kelantan.

Lagipun, kehadiran Najib ke Batu Caves semasa perayaan Thaipusam pun bukanlah kali pertama, pada 2010 dia telah melakukannya, yang kemudian dikaitkan dengan lawatan sama oleh arwah bapanya Tun Razak pada awal 70-an. Kenapa baru sekarang Harussani mengambil pendekatan mengecam?

Setelah puas mengkaji dan melihat tindak balas penyokong UMNO berhubung kenyataan awal Mufti Perak itu yang mengecam Najib atas kehadirannya di Batu Caves, penulis berasa sangat yakin bahawa Harussani dengan sengaja mengeluarkan kenyataan itu yang kemudiannya akan dikaitkan dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis Ponggal di sebuah kuil di Perak pada Januari lepas.

Penulis tidak boleh membuktikan di sini tapi jika dihalusi kronologi kenyataan Harussani ini dengan baik, jelas ia adalah satu gerak kerja politik UMNO yang dijalankan dengan begitu teliti sekali.

Apatah lagi bila semalam Harussani menyifatkan kenyataannya mengenai kehadiran Najib di Batu Cave telah diputar belit oleh beberapa pihak, menguatkan lagi tanggapan penulis bahawa semua ini adalah sebahagian dari plot politik UMNO.

Hakikatnya, sebahagian besar rakyat Malaysia yang tidak memberi perhatian kepada kehadiran Anwar dalam majlis Ponggal di Perak, kini didedahkan dengan terperinci gambar-gambar Anwar di majlis tersebut, termasuk satu gambar di mana Anwar dicalitkan dengan bahan berwarna merah di dahi (nandek).

Gambar tersebut kini digunakan penyokong UMNO untuk mempersoalkan akidah Anwar sebagai orang Islam.

Percayalah cakap penulis, jika Harussani tidak mempersoalkan lawatan Najib ke Batu Caves, tidak mungkin para blogger UMNO akan menggunakan gambar-gambar Anwar itu untuk menjatuhkan imejnya.

Penulis terpaksa mengakui di sini bahawa Ponggal memang perayaan agama Hindu, bukan perayaan budaya orang India seperti yang penulis lihat digunakan sebagai alasan oleh kebanyakan web pro Pakatan Rakyat. Hari kedua perayaan tersebut, perum adalah berkaitan dengan Dewa Surya, Dewa Matahari bagi orang Hindu.

"The second day is Perum, also known as Surya Pongal, and is the most important day of Pongal. Many people worship the sun god, Lord Surya by offering prayers on this day. Many people also wear new clothes and women decorate houses with Kolam (designs) using rice flour and red clay."

Tapi seperti disebutkan oleh Harussani sendiri, jika tidak berniat untuk merayakan, tidak ada masalah.

Penulis tidak ingin bercakap panjang kerana ini isu agama. Cuma yang penulis ingin tekankan di sini ialah kepimpinan Pakatan Rakyat juga seharusnya mengelak dari mengambil bulat-bulat pandangan Harussani, walaupun ia punya nilai besar untuk menghentam Najib.

Contoh yang penulis lihat paling galak menggunakan kenyataan Harussani ini ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dari PAS.

Pada penulis, Harussani telah membuktikan dirinya sebagai ulama upahan pro UMNO, tapi berselindung di sebalik jawatan sebagai Mufti Perak. Tidak sepatutnya sesiapa pun memberikan perhatian kepada cakapnya dari sekarang.

Sebaiknya Harussani meletak jawatan, menyertai UMNO dan bertanding dalam pilihanraya. Itu adalah lebih baik dari hidup dalam kepura-puraan dan merelakan diri menjadi alat politik tidak bertamadun.

No comments:

Post a Comment