Saturday 25 February 2012

IBU MUDA SESAL BUANG BAYI

INSAF.... Mayfene (tengah) mendengar penerangan dari PJ (kanan).

SEORANG ibu muda yang melakukan perbuatan jenayah dengan menyembunyikan kelahiran bayi, malah membuangnya dan hukuman 18 bulan penjara dikekalkan terhadapnya meminta wanita-wanita lain tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Jangan ikut macam saya dan saya menyesal dengan apa yang telah dilakukan,” kata gadis berusia 21 tahun selepas rayuan semakan jenayah ditolak Mahkamah Tinggi di sini kelmarin atas kesalahan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki, pada tahun lalu.

Mayfene Medah juga menasihatkan agar jangan menjadi sepertinya yang mana dia hanya mengenali lelaki terbabit selama lima bulan.

Katanya, ketika dia mendapati dirinya mengandung, dia ada mencari dan menghubungi lelaki terbabit, namun gagal.

“Sekiranya hendak mencari teman lelaki haruslah seorang yang baik,” katanya ketika diajukan soalan oleh wartawan ketika di luar mahkamah.

Dia juga menjelaskan, ketika kesalahan itu dilakukan, dia berada dalam keadaan panik dan tidak tahu apa yang harus dilakukan sejurus bayi itu dilahirkan.

Sebelum itu Hakim Datuk Abdul Rahman Sebali membuat keputusan terhadap Mayfene selepas mendengar hujah daripada peguam PJ Perira dan Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramaniam dan mengekalkan keputusan mahkamah rendah.

Dalam penghakimannya, beliau berpendapat tiada yang salah dengan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah.

Menurutnya, dalam kes ini bayi berkenaan masih hidup ketika dilahirkan. Tertuduh bukan saja menyembunyikan kelahiran bayi itu tapi juga membuang bayi itu ke kawasan pembuangan sampah.

“Bayi berkenaan tidak harus diperlakukan seperti itu, bayi terbabit mempunyai hak untuk hidup. Oleh itu, permohonan semakan jenayah ditolak dan hukuman dikekalkan,” katanya.

Pada 4 Mei 2011 jam 12.50 tengah hari, di kawasan pembuangan sampah, berhampiran kedai SEDCO di Pekan Sook, perayu dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dan membuang bayi itu ke dalam tong sampah secara sulit selepas dilahirkan.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seskyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Menurut PJ, perayu yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai mengandungkan seorang bayi lelaki hasil hubungannya dengan seorang lelaki warga asing.

Dia berhujah, ketika kesalahan itu dilakukan perayu hanya berusia 20 tahun dan seharusnya, menjadi amalan bagi mahkamah untuk menyediakan laporan sosial sebelum menjatuhkan hukuman.

Bagaimanapun, Uma menjelaskan, keputusan yang dijatuhkan mahkamah rendah adalah betul berdasarkan undang-undang. Manakala laporan sosial bukanlah keperluan kerana perayu berusia 20 tahun ketika kesalahan dilakukan.

Tambahnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan, kes pembuangan bayi pada dewasa ini semakin meningkat, yang mana lingkungan umur individu yang terlibat adalah antara 18 hingga 25 tahun.

Pada tahun lalu, perayu dijatuhkan hukuman hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

No comments:

Post a Comment