Thursday 23 February 2012

IPHRC UTAMAKAN AGENDA WANITA DALAM OIC

Oleh : AHMAD FUAD YAHYA

PEMILIHAN seorang pakar dari Malaysia sebagai seorang daripada sekumpulan 18 pesuruhjaya yang pertama dalam Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) merupakan sesuatu yang membanggakan negara.

Prof Madya Dr Raihanah Abdullah dari Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, yang duduk sebagai Pesuruhjaya di IPHRC berpendapat suruhanjaya itu membuka lembaran baru untuk OIC kerana negara-negara anggota pertubuhan itu kini telah mempunyai satu hala tuju dalam isu-isu hak asasi manusia.

IPHRC dilihat sebagai suatu perkembangan penting dalam OIC, lebih-lebih lagi dengan pandangan negatif masyarakat antarabangsa terhadap negara-negara Islam dalam soal hak asasi manusia, mengikut persepsi yang disandarkan kepada nilai-nilai standard antarabangsa.

"Hari ini di negara-negara Islam banyak sekali isu-isu hak asasi manusia dan pihak masyarakat antarabangsa mengatakan ada pelanggaran hak asasi manusia di negara OIC yang tertentu.

"Badan-badan antarabangsa kini sedang memerhati IPHRC apakah ia boleh berperanan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di kalangan negara-negara anggota OIC," katanya dalam satu temuramah dengan Bernama di Jakarta, Indonesia.

Prof Madya Dr Raihanah, yang juga Pengarah Pusat Dialog Ketamadunan Universiti Malaya, beroptimistik bahawa IPHRC boleh membuka mata semua pihak bahawa OIC bukan sebuah pertubuhan "yang asal ada sahaja", sebagaimana yang ditanggapi oleh pihak tertentu.

Para pesuruhjaya IPHRC, yang mengadakan sesi pertemuan formal pertama di sini sekarang, selepas mesyuarat persediaan di Jeddah pada akhir tahun lepas, telah menunjukkan kesungguhan untuk membawa imej positif terhadap OIC melalui kehadiran suruhanjaya ini, katanya.

Bagi Malaysia, sumbangan di bidang hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang asing kerana di dalam negara telahpun ada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), selain Malaysia turut terlibat dalan Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai hak asasi manusia (AICHR).

Di dalam negara, katanya, sungguhpun tidak dinafikan ada isu-isu yang mengikut tanggapan pihak tertentu merupakan pelanggaran terhadap hak asasi manusia, namun Suhakam sebagai sebuah badan yang mempunyai kredibiliti, boleh menangani permasalahan itu.

"Di IPHRC, kita ingin meletakkan pinsip dan nilai-nilai Islam sebagai lebih utama berbanding nilai-nilai mengikut deklarasi antarabangsa tentang hak asasi manusia.

"Dalam hubungan ini, peranan yang saya boleh mainkan ialah isu-isu tentang hak wanita dan kanak-kanak, yang kurang mendapat perhatian di beberapa negara tertentu, dengan adanya dakwaan masyarakat antarabangsa bahawa negara-negara Islam tidak menjaga tentang hak-hak wanita dan kanak-kanak," katanya.

Prof Madya Dr Raihanah berkata beliau berasa bertuah mendapat pelbagai peluang dalam menjalani kehidupannya sebagai seorang wanita muslim di Malaysia sehingga ke jawatannya sekarang dan ingin pula berkongsi kepakaran dan pengalamannya untuk umat kepentingan wanita dan kanak-kanak di negara-negara anggota OIC.

Oleh kerana itu, beliau menekankan kepentingan isu hak wanita dan kanak-kanak dijadikan agenda khusus dalam IPHRC dan bukan diletakkan di bawah hak sosial dan budaya.

"Sebab ini merupakan isu yang besar, walaupun ada isu-isu lain seperti isu politik di Palestin misalnya, yang juga isu besar.

"Kita tidak mahu isu wanita dan kanak-kanak diketepikan, IPHRC memerlukan pesuruhjaya yang terdiri daripada wanita supaya mereka boleh memberi satu sisi yang berbeza dari segi perkara yang perlu dititik beratkan," katanya.

Para pesuruhjaya IPHRC dalam mesyuarat pertamanya di sini selama lima hari sehingga Jumaat ini, sedang membahaskan antara lainnya peraturan prosedur yang akan dijadikan terma rujukan serta keutamaan tentang bagaimana ia harus bergerak.

Antara topik yang turut dibincangkan ialah isu-isu berkaitan hak sivil dan politik, hak ekonomi serta hak sosial and budaya di negara-negara OIC, selain situasi di Palestin.

Para pesuruhjaya IPHRC merupakan individu bebas dan ahli di bidang hak asasi manusia, demokrasi dan Islam dari kalangan negara-negara anggota OIC mewakili tiga kawasan iaitu Asia, Afrika dan negara Arab. Mereka dipilih untuk penggal perkhidmatan selama tiga tahun dan penggal pertama ini ialah dari 2011 hingga 2014.

Prof Madya Dr Raihanah berharap selepas selesai semua urusan rumah tangganya di peringkat awal ini, IPHRC akan dapat memberi nafas baru kepada OIC dalam perjuangannya untuk dunia Islam dan hubungannya dengan negara serta masyarakat bukan Islam.

"Untuk sampai ke peringkat menjadi sebuah badan yang berpengaruh sebagaimana yang kami semua harapkan ini, bukanlah dalam sekelip mata, perlu ada satu pasukan yang ada kesungguhan, supaya kami nanti boleh bergerak ke hadapan dengan lebih bergegar dan bertaring," katanya. (BERNAMA)

18 comments:

  1. Hak Asasi Manusia semakin diutamakan dalam generasi ini, kita perlulah memastikan bahawa hak manusia sentiasa dihormati dan dipertahankan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. We should learn and apply these.

      Delete
    2. setuju dengan anak Sabah..hak asasi manusia harus sentiasa dihormati.

      Delete
  2. Semoga pertubuhan Hak Asasi Kemanusiaan ini akan berusaha memperjuangkan kepentingan manusia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya..semoga mereka akan menjalankan peranan mereka dengan sebaiknya.

      Delete
    2. Hak Asasi Kemanusiaan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan kemanusiaan. diharap nasib2 yang terlibat dapat dibela.

      Delete
  3. hak asasi manusia mmg perlu dipertahakan.

    ReplyDelete
  4. tahniah kepada Malaysia khususnya kepada individu yang terpilih sebagai seorang daripada sekumpulan 18 pesuruhjaya yang pertama dalam IPHRC..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tindakan yang bijak sebenarnya. Teruskan usaha.

      Delete
    2. harap usaha yang baik akan dibuat secara berterusan.

      Delete
  5. Yang penting jabatan ini menjalankan tugas supaya hak manusia dilindungi.

    ReplyDelete
  6. Oleh kerana itu, beliau menekankan kepentingan isu hak wanita dan kanak-kanak dijadikan agenda khusus dalam IPHRC dan bukan diletakkan di bawah hak sosial dan budaya.

    Mereka merupakan golongan yang lemah dan harus dilindungi. Semoga badan yang ditubuhkan ini berusaha untuk menjaga kepentingan golongan tersebut.

    ReplyDelete
  7. Semoga badan hak asasi ini berjaya mencapai matlamatnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. teruskan usaha untuk mencapai matlamat untuk kebaikan semua.

      Delete
  8. Semoga Negara-negara Islam akan terus mengekalkan hubungan baik dan berkerjasama bagi memastikan setiap yang dilakukan akan berlandaskan Islam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hubungan yang baik dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian.

      Delete
  9. hak asasi setiap orang haruslah dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak..

    ReplyDelete
  10. Women and children must be protected from violence.

    ReplyDelete