Saturday 4 February 2012

JANGAN RASUAHKAN POLITIK!



BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Dr Abdul Hamid Hj Mohamad menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu rasuah. Isu rasuah sepatutnya menjadi perjuangan semua, dan memerlukan keazaman politik, bukan sekadar keazaman politik pihak memerintah sahaja sebaliknya semua pihak yang berkecimpung dalam politik di negara ini.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Lembaga Penasihat Dan Pencegahan Rasuah (LPPR) mengulas bahawa sepanjang dua tahun beliau sebagai pengerusi LPPR;

”Saya melihat kekecewaan pegawai suruhanjaya yang menjalankan tugas mereka dengan tekun dan amanah, mereka sewajarnya mendapat sokongan penuh daripada semua pihak kerana memerangi rasuah merupakan tanggungjawab asas semua pihak."

Jelasnya, masyarakat perlu memahami bahawa pegawai pegawai SPRM melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan integriti tanpa memilih bulu dalam tugasan mereka.

Ini jelas apabila beberapa individu ternama seperti Datuk Hj Harun Hj. Idris, Haji Abdul Ghani, Dato’ Wa’ad Bin Mansor, Dato’ Mohtar Hashim, Harun Idris, Dato’ Sahar Arpan, Tun Dr. Ling Leong Sik dan Dato’ Chan Kong Choy telah dan sedang menghadapi pertuduhan, ini jelas menunjukkan SPRM adalah sebuah entiti yang bebas.

Pendakwaan kes-kes terhadap individu ini menunjukkan bahawa keazaman politik dalam membanteras jenayah rasuah wujud di negara ini tanpa mengira siapa yang terlibat.

Beliau menyeru semua pihak tanpa sebarang pengecualian hendaklah menyokong semua usaha pembanterasan jenayah rasuah dan tidak harus menggunakan atau mempergunakan SPRM untuk kepentingan agenda masing-masing.

Tun Hamid juga mengingatkan masyarakat yang mengundi agar tidak memperdagangkan undi masing-masing. Menurut beliau, ”Di Malaysia, wujud budaya mempolitikkan isu rasuah untuk mencapai matlamat mereka”.

Budaya hari ini sampai kepada tahap ’menawarkan’ undi mereka untuk dijual kepada pembida yang tertinggi dalam menunaikan hasrat peribadi mereka tanpa memikirkan jangka panjang”.

Beliau menyampaikan ucapannya dalam siri syarahan Inaugural Integrity di Universiti Tenaga Nasional bertajuk ’Integrity -You Know It, but Do You Have It?’ petang ini. Turut hadir pada majlis sama adalah Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia juga pengerusi Lembaga Pengarah UNITEN, Tan Sri Leo Moggie.

No comments:

Post a Comment