Monday 20 February 2012

JANGAN SEMBUNYI KEMISKINAN



Oleh : MOHD FIRDAUS MUHD NOOR

RAKYAT Sabah akan menikmati peluang kemudahan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, ini kerana negeri-negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat telah berjaya menunjukkan aliran gerakan ekonomi dan pembangunan yang jauh lebih baik berbanding prestasi Barisan Nasional (Bn) pada sebelumnya.

“Ini bukan dongengan, bukan juga rekaan cerita semata. Rakyat diberi pilihan untuk menilai mana yang baik dan mana yang tidak baik. Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita boleh memimpin dengan baik di sebuah negeri maju seperti Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menempelak pihak yang mengkritik keupayaan Pakatan Rakyat sebagai ‘miskin’. Hal ini berikutan, kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin sebuah parti politik akhir-akhir ini yang secara terang-terangan.

“Kita (PAS) tahu, dengan ‘miskin’ di Kelantan, rakyatnya menikmati pelbagai insentif dan bantuan. Begitu juga di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor. Di Selangor, mereka menikmati air bersih dengan percuma. Tidak payah bayar. Anak-anak nak masuk universiti, mereka bagi RM1,000. Tetapi bagaimana di Sabah?,” tanya Lahirul.

Menurutnya, kekayaan hasil bumi Sabah seharusnya dinikmati semua pihak termasuk rakyat. Pengurusan perlu dijalankan secara adil dan berhemah.

“Sabah yang kaya ini, perlu selaras dengan kekayaan yang dimiliki rakyat. Tidak ada gunanya, jika sebuah negeri hanya kaya, tapi rakyatnya hidup susah. Nak makan susah, nak minum, cari air pun susah. Apatah lagi untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa. Ini bukan isunya kerajaan terlepas pandang, tapi ke mana hasil kekayaan bumi Sabah ini?,” soal Lahirul.

Tambahnya, beliau turut mendesak Kerajaan Negeri agar tidak terus menyembunyikan fakta dan kedudukan sebenar tahap kemiskinan rakyat di negeri ini. Hal ini bagi menjamin, satu kualiti kehidupan yang jauh lebih baik dari setahun ke setahun.

“Kita (PAS) desak, Kerajaan Negeri Sabah agar tidak terus menyembunyikan masalah sebenar kepada rakyat. Tidak usah untuk membohongi rakyat lagi. Cukuplah dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri sendiri yang nyata telah menggelisahkan rakyat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment