Sunday 12 February 2012

KOS TINGGI, BAS LABUK HENTIKAN OPERASI

SETELAH beroperasi sejak 56 tahun lalu, Labuk Road Bus Co Sdn Bhd, sebuah syarikat bas paling lama di Sandakan akan menghentikan operasi syarikat ekoran kos operasi yang tinggi.

Pengurus syarikat berkenaan, Henry Chu berkata dengan jumlah penumpang yang yang semakin berkurangan menyebabkan syarikat itu tidak dapat menampung kos operasi syarikat itu.

"Kami cuba bertahan tetapi disebabkan kos operasi yang tinggi dan jumlah bas mini yang semakin banyak, sudah sampai masanya operasi syarikat dihentikan daripada terus menanggung kerugian.

"Sebagai sebuah syarikat paling lama beroperasi di daerah ini, sudah tentu saya tidak ingin menutup operasi syarikat tetapi saya tidak mempunyai pilihan," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya faktor persaingan daripada pengendali bas mini yang banyak beroperasi di daerah ini menjadi antara penyebab penumpang tidak lagi menggunakan perkhidmatan bas syarikatnya.

Henry bagaimanapun tidak menyatakan bila syarikat, yang mempunyai 30 bas beroperasi di laluan antara Bandar Sandakan hingga Kilometer 25 (Batu 16) dan mempunyai 60 pekerja, itu akan menghentikan operasinya tetapi menjangkakan ia dilakukan pada tahun ini.

Kebajikan 60 pekerja syarikat itu akan diberikan keutamaan sebelum operasi syarikat dihentikan, katanya.

Beliau berkata syarikat itu tidak pernah mengambil mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan termasuk berkaitan pengangkutan bagi membantu menangani kos operasi yang tinggi.

Henry turut berharap kerajaan dapat mengawal pengeluaran permit bas di daerah ini kerana jumlahnya kini yang sudah banyak.

Seorang pemandu bas di syarikat itu, Hussin Olong, 38, berasa sedih dengan keputusan majikannya mahu menamatkan operasi syarikat itu.

Dia yang bekerja di syarikat itu sejak 18 tahun lepas berharap majikannya dapat mencari jalan lain bagi mengatasi masalah kos operasi syarikat kerana di situlah punca pendapatan hidupnya sejak sekian lama.

Hussin berkata dia gembira dan bangga dapat bekerja di syarikat bas paling lama beroperasi di daerah ini. (BERNAMA)

8 comments:

  1. Too bad that this company could not survive even though they have already operated for around 56 years. Hopefully other bus drivers would be able to find employment with other companies.

    ReplyDelete
  2. i believe there are similar bus companies in KK that might share a similar plight in the future

    ReplyDelete
  3. Syarikat ini dah lama, tapi akhirnya ia terpaksa tutup kerana kos operasi yang tinggi.

    ReplyDelete
  4. mungkin peniaga tu boleh beralih kepada business lain.

    ReplyDelete
  5. Apa punca kurangnya penumpang? Kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan? Apa-apa pun, ianya agak sedih bagi sebuah syarikat yang sudah lama beroperasi untuk tamatkan perkhidmatan.

    ReplyDelete
  6. Sudah semestinya persaingan semakin hari semakin bertambah.

    ReplyDelete
  7. bukan sahaja disebabkan oleh persaingan dengan pengusaha bas yang lain, malah trend masa kini, rakyat Sabah lebih berminat untuk memiliki kenderaan sendiri berbanding dengan menaiki pengangkutan awam..

    ReplyDelete
  8. atau mungkin pengusaha bas ini boleh mencari lokasi lain yang lebih kurang persaingan..

    ReplyDelete