Sunday 26 February 2012

'MAKSIAT BELANTARA' DIGEMPUR


Oleh : AINOL AMRIZ ISMAIL

SELURUH kawasan Hutan Simpan Kenaboi di Jelebu, Negeri sembilan; serta kawasan lain akan dipantau dengan serius oleh Jabatan Perhutanan negeri bagi mengelak daripada dijadikan pusat maksiat.

Penolong Pengarah Sivil Kultur Jabatan Perhutanan negeri, Nor Zaidi Jusof berkata, pihaknya sentiasa memantau kawasan hutan simpan di negeri itu yang berkeluasan kira-kira 153,459 hektar dan akan bertindak sebaik sahaja mendapat maklumat lengkap dan tepat.

"Selain anggota renjer yang ditugaskan memantau kawasan hutan, kita juga menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dan penduduk Orang Asli untuk memberi maklumat berhubung aktiviti haram tersebut.

"Kita akan menggempur dan memusnahkannya sejurus mendapat maklumat. Bagaimanapun, di negeri ini aktiviti pencerobohan hutan simpan adalah terkawal dan tidak serius," katanya di sini hari ini.

Nor Zaidi memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menceroboh hutan simpan boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Perhutanan Negara 1987.

"Mengikut akta itu, hutan simpan adalah kawasan tertutup dan orang awam dilarang memasuki kawasan berkenaan tanpa kebenaran.

"Mereka yang ingin masuk ke dalam hutan itu perlu memohon permit Jabatan Perhutanan negeri terlebih dahulu dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan," jelasnya.

Akhbar kelmarin melaporkan sarang maksiat dalam hutan belantara di Jelebu yang wujud sejak setahun lalu dimusnahkan dalam operasi bersepadu diketuai oleh Jabatan Perhutanan negeri.

Dalam serbuan Khamis lalu, pasukan penguat kuasa yang turut disertai oleh polis terkejut selepas menemui 'resort mini' di tengah belantara itu yang turut dibina 14 pondok, tiga khemah besar, sebuah pentas, termasuk kemudahan dapur dan tandas bagi kegunaan pengunjung di situ.

Turut ditemui dalam operasi berkenaan sejumlah kondom, tin minuman keras dan peralatan perjudian.

No comments:

Post a Comment