Thursday 2 February 2012

MALAYSIA RUGI RM800 JUTA AKIBAT PEMBALAKAN HARAM



Malaysia akan mengalami kerugian RM800 juta hingga RM900 juta setahun sekiranya kegiatan pembalakan haram tidak dibendung, kata Presiden Transparency International (TI) Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan.

"Walaupun anggaran kerugian akibat pembalakan haram dilaporkan berjumlah antara RM800 juta dan RM900 juta setiap tahun, TI percaya masalah di Malaysia masih terkawal.

"Namun demikian, TI, Jabatan Perhutanan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tetap memandang serius masalah ini walaupun jumlah kes menurun daripada 419 pada 1993 kepada 24 tahun lepas," katanya selepas melancarkan projek dikenali sebagai ‘Forest Watch’ dan Kempen Kesedaran Orang Ramai Mengenai Pemuliharaan Hutan di sini.

Beliau berkata melalui Forest Watch, setiap orang boleh memantau keadaan hutan dan mengesan kegiatan pembalakan haram melalui penggunaan kaedah Google.

"Projek Forest Watch dibangunkan untuk membolehkan orang ramai menjadi mata dan telinga hutan melalui penggunaan Google Earth Geospatial Technology (satelit, pengimejan, fotografi dari udara dan peralatan GIS 3D globe).

"Dengan menggunakan kaedah itu, orang ramai boleh membuat penilaian dan melaporkan perkara yang berlaku melalui laman sesawang www.timalaysia-forestwatch.org.my," katanya.

Low berkata penduduk luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan Internet pula boleh memainkan peranan mereka dengan menelefon atau menulis surat kepada TI, Jabatan Perhutanan atau Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment