Friday 3 February 2012

NAJIB NEGARAWAN BERTARAF DUNIA

RAKYAT Sabah digesa menyokong kepimpinan dan dasar-dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata rakyat Malaysia harus menghargai daya usaha Najib yang dilihat sebagai bersederhana, praktikal, progresif dan berpandangan jauh demi membawa perubahan sosial dan ekonomi yang positif kepada negara dan rakyat.

"Perdana Menteri jauh mendepani masa beliau berkat visi dan program inovatifnya untuk mentransformi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi pada abad ke 21.

"Beliau telah membuktikan dirinya sebagai seorang negarawan bertaraf dunia, dicontohi dengan inisiatifnya yang berani demi memupuk 'gabungan moderat' di kalangan negara-negara untuk menentang ancaman ekstremisme politik dan agama yang semakin besar," kata Pairin dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Pairin, yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata rakyat Malaysia perlu menganuti kesederhanaan politik sebagai cara berfikir, khususnya dalam konteks konsep 1Malaysia.

Sebagai sebuah negeri yang menghayati semangat 1Malaysia, beliau berkata rakyat Sabah hendaklah mendahului laluan dengan memperkukuh dan menunjukkan sokongan terhadap usaha Najib untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum, budaya dan kepercayaan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment