Saturday 11 February 2012

NATIVE GATE, SIAPA BELA LIAN KEE CHU?

Oleh : HAFIZ JAMAIL

KENYATAAN Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang disiarkan di beberapa akhbar tempatan di Sabah dan media alternatif termasuk portal Sabahkini.net telah mengundang berbagai reaksi dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Ketika menyampaikan ucaputamanya, di satu simposium di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Richard mengesahkan berlaku salah guna kuasa dan rasuah di kakitangan Mahkamah Anak Negeri Sabah begitu kronik sehingga ada pendatang dari Hong Kong dan Taiwan menjadi 'Anak Negeri Berasal Dari Sabah'.

Ini bermakna Richard sangat peka dan menyedari ada di kalangan Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri bertugas di Mahkamah Anak Negeri telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk memberi dan mengeluarkan Sijil Anak Negeri kepada kaum Cina yang tidak berhak diiktiraf sebagai anak negeri.

Ramai peminat Sabahkini.net memberi tahu sidang editorial pendedahan berani oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak itu wajar dibawa ke pengetahuan semua lapisan masyarakat kerana kesan akibat perbuatan khianat oleh kakitangan Mahkamah Anak Negeri yang tidak bertanggungjawab itu, telah membawa padah kepada sejumlah besar masyarakat Anak Negeri di Sabah.

Seorang Wakil Ketua Anak Negeri yang bertugas di Mahkamah Anak Negeri di Sandakan WKAN Abdul Hamid Duli memberitahu Krew Sabahkini.net masalah pengunaan dokumen palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin berleluasa.

Menurut Hamid, tindakan menuding jari kepada Mahkamah Anak Negeri semata-mata kerana ada kaum Cina menggunakan Sijil Anak Negeri untuk merampas tanah yang dikhaskan untuk Anak Negeri adalah tidak tepat kerana bukan semua Sijil Anak Negeri yang mereka gunakan sah dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri .

"Ada juga 'penjenayah kolar putih' yang gunakan Sijil Anak Negeri Palsu dan penggunaan dokumen palsu seperti ini amat berleluasa di Sabah," kata Hamid yang menekankan pihak berwajib tidak serius membanteras isu penting ini sebagaimana tindakan tegas mereka dalam kes pemalsuan wang, kad pengenalan dan pasport.

Hamid kesal kerana sehingga kini tidak ada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani jenayah penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu ini oleh ratusan 'Lanun Tanah' berbangsa Cina walaupun telah dibuktikan bahawa dokumen yang mereka miliki itu adalah palsu.

"Saya kesal kerana sikap mahkamah yang tidak mengambil perhatian mengenai perkara ini walaupun ada kes melibatkan penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu oleh taukeh telah didedahkan dalam perbicaraan di Mahkamah Sivil," tegas Hamid yang mendesak penubuhan Suruhajaya Anak Negeri Sabah bagi melindungi kepentingan Anak Negeri Sabah yang semakin terpinggir.

Memang tidak dinafikan, kata Hamid, ada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri yang menyalah gunakuasa mereka, tetapi tindakan keji sebilangan mereka, setelah berjaya dikesan dan dilapor kepada pihak Polis, tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak Polis.

"Malah ada yang Sijil Anak Negeri mereka disahkan palsu telah dilapor kepada polis, tetapi polis tidak mengambil sebarang tindakan di bawah undang-undang jenayah terhadap penjenayah terbabit,” ujar Hamid yang medesak Pesuruhjaya Polis Sabah prihatin dengan masalah laporan polis yang dianggap 'angin' kerana menyusahkan mereka, berbanding dengan keuntungan lumayan melindungi 'penjenayah'.

(Sila Klik Objek Untuk Lebih Jelas)

Bagi menyokong dakwaannya, Hamid mengemukakan satu kes pemalsuan Sijil Anak Negeri Palsu oleh seorang lelaki Cina bernama Lian Kee Chu.

Menurut Hamid, penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu oleh lelaki berbangsa Cina tersebut telah pun dilapor kepada Polis, malah telah juga di dedahkan dalam satu Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sandakan di bawah Kes Guaman No. S 22-45 Tahun 2001 antara Joseph Paulus Lantip Vs Lian Kee Chu dan 109 Yang Lain.

Ketika perbicaraan berlangsung, Ketua Daerah dari Mahkamah Anak Negeri Kota Marudu, OKK Abd Jalil Bin Janjani, selaku saksi Plaintif memberitahu Hakim yang mengadili perbicaraan tersebut bahawa Sijil Anak Negeri atas nama Lian Kee Chu tidak pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri Kota Marudu.

Mantan Pegawai Daerah Kota Marudu yang disapina oleh Plaintif untuk memberi keterangan telah dengan jelas memberitahu Hakim yang mengadili kes tersebut bahawa tanda tangan Pegawai Daerah yang tertera dalam Sijil Anak Negeri kononnya dikeluarkan dan digunapakai oleh Lian Kee Chu, bukan tandatangannya.

Lebih daripada itu Pegawai Penyiasat Polis yang turut disapina untuk memberi keterangan mengenai laporan Polis dibuat oleh Ketua Daerah Kota Marudu mengesahkan siasatannya menunjukkan butiran dalam Sijil Anak Negeri yang kononnya dikeluarkan atas nama Lian Kee Chu adalah 'Palsu'. Kertas siasatan telah dihantar kepada Peguam Negara untuk pendakwaan tetapi fail siasatan telah di 'Peti Sejuk'kan di Pejabat Peguam Negara.

Setelah kes ini selesai dibicarakan, semua fakta dan bahan bukti yang dieksibitkan telah mengesahkan Sijil Anak Negeri yang diguna pakai oleh Lian Kee Chu adalah palsu, tetapi langsung tidak diambilkira oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika membuat penghakiman kes tersebut.

“Siapa yang harus persalahkan?" soal Hamid.

“Manakala di Mahkamah Sivil pula, kita seperti burung unta, kepala di kubur tetapi buntut ditungging,” tambah Hamid dengan nada jengkel.

Sabahkini.net sedang berusaha mendapatkan Nota Prosiding serta maklumat lanjut dan akan segera memuatnaik dengan terperinci kes melibatkan penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu oleh individu bernama Lian Kee Chu seperti yang disebut oleh Hamid dalam edisi akan datang.

10 comments:

  1. Hope to see further revealings on this case, keep up the good work, Sabahkini to find out the truth.

    ReplyDelete
  2. This matter needs to be look into.

    ReplyDelete
  3. Clearly the native rights as stated by Tan Sri Malanjum has been abused as well as violated.

    ReplyDelete
  4. Ambil tindakan ke atas mereka yang melanggar undang-undang dengan bukti yang ada.

    ReplyDelete
  5. hal ini perlu disiasat, jgn biarkan ada salah guna kuasa.

    ReplyDelete
  6. pendatang dari Hong Kong dan Taiwan menjadi 'Anak Negeri Berasal Dari Sabah'?? Sungguh menghairankan.

    ReplyDelete
  7. susahlah kalau kakitangan Mahkamah Anak Negeri Sabah sendiri menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam rasuah.

    ReplyDelete
  8. Perkara yang menyalahi undang-undang perlulah disiasat sebaiknya.

    ReplyDelete
  9. benda yang boleh menjana keuntungan secara haram pasti dimanfaatkan oleh pihak2 yang tidak bertanggungjawab.. tidak semestinya dalam kes ini hanya pegawai2 kerajaan sahaja yang berpotensi melakukannya.. sudah banyak kes di mana wujud sindiket yang bijak dalam melakukan pelbagai pemalsuan..

    ReplyDelete
  10. walaubagaimanapun, pihak berkuasa perlulah melaksanakan tanggungjawab mereka dan meletakkan kes yang bersangkut-paut dengan pencabulan kedaulatan negeri ini ditempat yang teratas...

    ReplyDelete