Tuesday 21 February 2012

NFC, LEGASI PAK LAH BUAT NAJIB?

Oleh : MUTALIB M.D

JIKA Tun Razak meninggalkan Legasi Felda untuk anaknya Najib; Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) telah meninggalkan National Feedlot Corporation (NFC) buat Najib.

NFC adalah buah tangan Pak Lah untuk mengatasi masalah kekurangan daging lembu tempatan dan tidak terlalu bergantung kepada daging import, namun pelaksanaannya yang tidak teratur; terutama tidak dibawa dalam Mesyuarat Kabinet telah meninggalkan liabiliti besar kepada Najib.

Dalam hal ini, mengikut akauntabiliti kerajaan, Menteri Pertanian ketika itu, Muhyiddin Yassin sepatutnya dipertanggung jawabkan, namun oleh kerana NFC tidak dibawa ke Mesyuarat Kabinet dan keputusan dibuat oleh Pak Lah dan menantunya, maka Muhyiddin dianggap 'Tidak Berdosa'.

Masalah NFC ini timbul kerana Anak-Anak Syahrizat dan suaminya tidak faham selok belok pentadbiran dan jahil tentang undang-undang syarikat dan perniagaan; apatah lagi NFC adalah syarikat 'Kerajaan' (GLC) kerana kerajaan memiliki 'Golden Share' dalam NFC, maka tertakluk kepada akauntabiliti kerajaan.

Persoalan pokok sekarang ialah beban sebenar terletak di bahu Najib, bagaimana mahu menyelesaikan isu tersebut tanpa perlu mengheret Pak Lah kemuka pengadilan, sebagaimana desakan demi desakan yang diterima kerajaan pimpinannya sekarang.

Hakikatnya, bukan Najib yang memilih Pak Lah sebagai Perdana Menteri, tetapi Tun Mahathir yang memilih Pak Lah sebagai penggantinya. Dalam hal ini, bukan Pak Lah berniat jahat, tetapi jelas Pak Lah langsung tidak ada wibawa.

Ketika melaksanakan NFC, niat Pak Lah memang terpuji iaitu untuk mengurangkan import daging, tetapi tanpa wibawa dan kebolehan daya urus, Pak Lah dan 'Kabinet Tunggalnya' (menantu) begitu jahil tentang kompleksiti dunia perniagaan; maka wujudlah kejadian sebegini rumit.

Isu NFC tidak timbul langsung jika Pak Lah mendapatkan pandangan Kabinet Malaysia kerana semua keputusan dilaksanakan secara kolektif, malah Ahli Jemaah Kabinet boleh mencadangkan agar NFC mendapatkan pinjaman mudah daripada Bank Agro atau Bank Perdagangan yang lain.

Pinjaman mudah kepada NFC mempunyai satu tujuan sahaja iaitu untuk modal membeli lembu; tetapi akibat kekurangan pengalaman dan kecuaian pegawai di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian maka pengeluaran dana tidak terkawal sehingga terjadilah amalan di luar 'tabii' akauntabiliti kerajaan.

Dalam hal ini, Pengerusi NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, suami Shahrizat yang wajar 'dipersalahkan' kerana melakukan 'Pecah Amanah' iaitu tidak mengembalikan baki lebihan wang yang dipinjamkan untuk membeli lembu; sebaliknya membeli kondominium dan sebagainya.

Bagaimanapun, dari segi undang-undang Shahrizat tidak bersalah, melainkan jika beliau tidak mengisytiharkan harta dan hubungannya dengan Pengerusi NFC.

Jika ketika itu pinjaman dibuat daripada Bank Perdagangan, maka isu NFC pada hari ini tidak wujud langsung kerana tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau penyalahgunaan dana di GLC yang terlalu bebas seperti NFC.

Namun pada ketika ini, Najib yang memulakan Transformasi Ekonomi telah menubuhkan 'Pemandu' dan 'Majlis Ekonomi Negara', maka kejadian seperti ini yang digelar sebagai 'Sindrom Buta Ekonomi' tidak mungkin akan terjadi lagi.

'Sindrom Buta Ekonomi' jelas kelihatan dalam perdebatan antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Datuk Chua Soi Lek baru-baru ini. Lim Guan Eng yang baru menjadi Ketua Menteri selama 3 setengah tahun, tidak mempunyai 'know-how' ekonomi, mungkin akan berkesudahan seperti nasib NFC juga.

Sebagai contoh bila disoal tentang model ekonomi, Lim Guan Eng menjawab 'Menurunkan rasuah boleh menjana ekonomi.' Daripada bahasa tubuh dan lenggok gaya menunjukkan Lim Guan Eng begitu yakin dan percaya, bahawa model ekonomi begitu mudah, sinonim dengan Pak Lah.

Daya ketahanan ekonomi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ala 'Ekonomi Harimau Kertas' begitu rapuh kerana bagi Lim Guan Eng; jika Kerajaan tidak cukup wang, cukup mudah; jual tanah dan swastakan Jabatan Air.

Jika dibandingkan dengan orang yang faham dengan implikasi kewangan dan ekonomi seperti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, konklusinya mungkin berbeza.

Lim Guan Eng jual tanah, Musa Aman usahakan semua tanah kosong milik kerajaan dengan tanaman. Jika jual tanah, pendapatan sekali sahaja; sebaliknya jika ditanam, hasil akan berkekalan selagi diusahakan dengan sempurna dan ditadbir urus dengan baik melalui GLC seperti Sawit Kinabalu dan Yayasan Sabah.

Seorang ahli ekonomi, GC Gan pernah berkata, "Undi Pakatan Rakyat adalah sama dengan melantik kembali Pak Lah sebagai Perdana Menteri."

Sikap Pak Lah, "simple people, simple mind". Sebenarnya mahu menjadi pemimpin bukan boleh hanya dengan niat bagus, tetapi mesti mempunyai kredibiliti. Sampai bila rakyat Malaysia boleh sedar bahawa bukan semua orang ada kapabiliti dan kredibiliti.

Cuba anda bayangkanlah jika Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong yang dikaitkan dengan Sijil Anak Negeri Palsu menjadi Ketua Menteri atau Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Hiew King Cheu yang kononnya memiliki Ijazah Kedoktoran Palsu menjadi Menteri Kabinet Sabah?

Jangankan bermimpi untuk memegang jawatan tinggi tersebut, selama ini rakyat merungut apa sumbangan mereka kepada negara selama menjadi Wakil Rakyat sejak tiga tahun setengah; selain menjadi penyelia longkang, lubang jalan dan lubang jamban? Kebajikan rakyat bukan sekadar menunjuk longkang atau jalan berlubang, malah beribu lagi faktor penentu yang mahu diambilkira.

Berbanding dengan Najib yang melancarkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dikawalselia oleh Pemandu, mempunyai kerangka jangka panjang rancangan politik tersusun untuk mengatasi implikasi kewangan dan ekonomi.

Dengan minda terbuka dan sokongan rakyat, Najib yang mewarisi kerajaan 'itik tempang' daripada Pak Lah telah berjaya keluar daripada 'budaya tidur' dan begitu komited turun padang sebelum merumuskan untuk melaksanakan Jaringan Sosial bagi merangsang Ekonomi.

Najib melancarkan BR1M iaitu memberi bantuan 'One-Off' sejumlah RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan iaitu Pelan Jaringan Sosial sebagai tindakan awal menjana transformasi ekonomi ke arah rakyat berpendapatan tinggi. Namun hanya mereka yang cekap dan berkebolehan sahaja yang akan sampai kepada matlamat, tetapi mereka yang tidak rajin, tidak pandai dan enggan merebut peluang akan tertinggal.

Jaringan Sosial bersadurkan ekonomi ini perlu wujud dan diamalkan di beberapa negara di dunia, tetapi bagi mereka yang sengaja mencari masalah dan sengaja mengkritik secara membuta-tuli akan terperangkap dengan model ekonomi ciptaan mereka sendiri.

(NOTA : Pandangan penulis adalah hasil kajian dan rumusan beliau sendiri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabahkini.net).

No comments:

Post a Comment