Monday 20 February 2012

“NO ELECTION, NO ACTION!"

Oleh : CHANG SHAK HUNG

SEDAR tidak sedar, janji Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelaraskan harga barangan di Sabah dan Sarawak dengan harga barangan di Semenanjung, telahpun berlalu untuk beberapa tahun lamanya dengan kegagalan!

Pendekatannya menyelaraskan harga di kawasan luar bandar dan bandar di Sabah, merupakan satu cara yang langsung tidak berjaya. Adakah ia satu permainan psikologi yang ingin memperbodohkan rakyat di negeri ini khususnya penduduk di Sandakan?

Dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Lahad Datu pada sesi lawatannya di Sabah pada 17 Februari lalu, Perdana Menteri telahpun berucap bahawa Sabah pernah dilabelkan sebagai 'Negeri Yang Termiskin' di Malaysia; namun sehingga ke hari ini, penduduk yang berpendapatan rendah dan miskin serta miskin tegar di Sabah terpaksa membelanjakan duit lebih semata-mata hendak mendapatkan makanan yang sama di Semenanjung Malaysia, dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Adakah KPDNKK sedar tentang kenaikan harga roti di Sandakan mencecah 98% dari RM1.70 sebuku roti panjang kepada RM3.30? Apakah kerajaan lupa akan keperitan penduduk Sandakan terpaksa mengikat perut membelanjakan duit yang dicari hasil dengan titik peluh sendiri?

Pemimpin Barisan Nasional pula giat dan rancak ‘mempromosikan’ kebaikan dalam memilih Barisan Nasional yang kononnya untuk membela nasib rakyat, namun apa yang menghairankan adalah harga barang keperluan harian yang amat tinggi berbanding dengan harga di Semenanjung Malaysia. Perlukah diketepikan begitu sahaja?

Kerajaan BN mengeluarkan kenyataan bahawa ramai rakyat Kelantan yang diterajui parti pembangkang, telah berhijrah ke ibu negara untuk mencari nafkah hidup; namun kenapa rakyat Sabah yang telah berhijrah ke ibu negara langsung tidak disentuh, walaupun sebab utama adalah gaji yang diperolehi adalah jauh lebih rendah dan pada masa yang sama perlu membeli sesuatu barangan dengan harga yang begitu mahal dan tidak munasabah?.

Adakah kerana Sabah diterajui kerajaan BN dan perkara-perkara negatif seperti ini tidak dihebohkan di media arus perdana seperti di RTM dan TV3?

Kerajaan BN cuma pandai mengatakan parti pembangkang mencari salah silap dan kelemahan dalam kerajaan BN, tetapi sebaliknya pihak kerajaan BN yang cuba mengalihkan pandangan rakyat dengan melemparkan tohmahan dan cuba menafikan hak sebagai seorang rakyat Malaysia iaitu untuk mendapatkan keadilan dan kesaksamaan dalam meneruskan kehidupan seharian.

Perlu diingat bahawa penduduk di bumi Sabah, terutamanya di Sandakan ini juga terdiri daripada pihak Barisan Nasional dan juga pembangkang. Apa yang perlu pada masa sekarang adalah berganding bahu menentang kezaliman yang langsung tidak memberikan manfaat kepada generasi pada masa kini dan generasi akan datang.

Duit rakyat adalah untuk membantu rakyat dan bukannya menzalimi rakyat dengan menggunakan duit rakyat. Slogan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan hanya tinggal kenangan dan istilah “No election, No Action!" akan mengambil alih slogan 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment