Thursday 16 February 2012

PAKATAN RAKYAT MULA BERPECAH



Oleh : AZMAN ARIFFIN

DALAM keadaan pilihanraya semakin hampir, Pakatan Rakyat seharusnya merapatkan saf dan bergerak secara sepadu bagi memastikan kemenangan yang jitu. Malangnya, di minit-minit terakhir ini, Pakatan Rakyat nampaknya semakin bercelaru, berpecah-belah serta dilanda berbagai-bagai masalah.

Lebih malang lagi apabila melihat kesemua masalah ini adalah berpunca dari dalam parti dan bukannya diada-adakan oleh musuh.

Bermula dari pemecatan Dato’ Dr. Hasan Ali yang menyebabkan PAS terbelah dua dan retak di sana sini, kemudiannya kes Elizabeth Wong yang memalukan dan kini soal kecil seperti sambutan Hari Valentine juga menjadi masalah besar, memperlihatkan kepada rakyat seolah-olah Pakatan Rakyat benar-benar dalam keadaan kronik.

Kesemua isu ini telah tidak ditangani dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan keadaan ini amatlah membimbangkan.

Kelihatannya, seolah-olah Pakatan Rakyat kehilangan arah kerana tidak punya satu tokoh pemimpin tertinggi yang pasti. Atau mungkin juga kerana terlalu ramai yang ingin meletakkan diri sebagai pemimpin tertinggi?

Berbanding dengan Barisan Nasional, semua parti-parti komponen tidak punya masalah menerima pemimpin tertinggi UMNO sebagai pemimpin tertinggi Barisan Nasional. Dengan itu, keputusan mutlak mudah dicapai apabila berhadapan dengan sesuatu isu dan perlaksanaan menjadi lancar.

Kita sedia maklum bahawa secara rasminya, Pakatan Rakyat meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin tertinggi. Namun, masalah peribadi beliau yang bertimpa-timpa telah menimbulkan keraguan sekali gus mengikis rasa hormat pemimpin-pemimpin PR yang lain terhadapnya.

Oleh yang demikian, beliau tidak mendapat kuasa mutlak untuk membuat keputusan bagi PR. Malah, setiap kali pandangan parti PAS, PKR dan DAP bercanggah antara satu sama lain, Datuk Seri Anwar dilihat tidak mampu menjadi titik tengah dan dapat berbuat apa-apa.

Di celah-celah itu, kita juga tidak dapat menepis seratus-peratus masalah sifat chauvinis DAP yang sukar menerima orang lain sebagai ketua atau pemimpin tertinggi. Kedegilan dan keangkuhan DAP terus terserlah dari sehari ke sehari sehingga sanggup bersikap biadap menyergah sekutu mereka termasuk dalam hal-hal berkaitan agama.

Suka atau tidak, PR harus sedar bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk tidak mampu mempunyai pemimpin seperti DAP. Jika benar PR ingin memerintah, DAP harus diajar mengenai budi bahasa, sopan santun, hormat-menghormati dan toleransi atau lupakan saja impian ke Putrajaya.

Selain itu, kita juga merasa sedih sekali melihat bagaimana Datuk Seri Hadi Awang bagaikan masih terpinga-pinga dengan pemecatan Hasan Ali dan tidak tahu bagaimana untuk mengatur langkah seterusnya.

Mujurlah ada isu Hari Valentine yang membantu beliau menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau masih mempertahankan ajaran Islam. Walaupun ia isu kecil berbanding isu murtad ataupun isu Negara Islam, sekurang-kurangnya ia membantu ‘mencuci’ muka PAS dari terus dihina sebagai boneka DAP.

Apa yang dapat disimpulkan ialah ketiga-tiga parti mengalami kesukaran menerima hakikat siapakah pemimpin tertinggi parti dan siapakah pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat. Di dalam PAS, PKR dan DAP ada saja individu yang ingin mendahului Presiden dan sesama Presiden pula masing-masing merasakan mereka lebih layak sebagai pemimpin paling tinggi.

Pendek kata, Datuk Seri Anwar, Datin Seri Wan Azizah, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Tok Guru Hadi Awang dan Mursyidul Am Nik Aziz tidak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam Pakatan Rakyat.

Salah seorang dari mereka wajib diterima sebagai pemimpin tertinggi di mana keputusannya diterima dan dihormati tanpa berbelah bahagi. Mereka juga wajar berhenti menempelak sesama sendiri bagi membolehkan saf dirapatkan dan perjuangan diteruskan.

Jika apa yang diperkatakan di atas tidak benar, tidak mungkin isu Elizabeth Wong akan melarat sehingga ke tahap ini. Kes beliau sepatutnya telah lama selesai jika beliau dikenakan tindakan sejak dari mula. Malah PR akan lebih dihormati sebagai parti yang telus jika kita pantas mengambil tindakan terhadap salahlaku pemimpin sendiri.

Lebih pelik lagi apabila PKR terpaksa menunggu kepulangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari luar negara untuk membuat keputusan mengenai kes ini yang mana membuktikan Datin Seri Wan Azizah sebagai Presiden yang tidak berfungsi langsung sebagaimana yang dimomokkan oleh musuh kita.

Datin Seri Wan Azizah harus sedar bahawa beliau bukan ‘isteri pemimpin tertinggi’, seperti Datin Seri Rosmah tetapi beliau sendiri adalah ‘pemimpin tertinggi’ parti PKR dan dengan itu harus lebih pro-aktif, tegas dan menonjol dari Rosmah sendiri.

Masalah kepimpinan seperti ini wajib diselesaikan jika PR ingin terus mara ke hadapan.

Mungkin tulisan kali ini agak perit untuk ditelan, namun inilah realitinya keadaan parti kesayangan kita hari ini. Penulis mengharapkan agar keperitan tulisan ini mampu menyedarkan pemimpin PR dari terus mamai dalam perjuangan ke Putrajaya.

Pemimpin PR perlu menyusun langkah yang lebih teratur dalam menghadapi pilihanraya. Jangan terlalu bergantung kepada strategi memburukkan lawan dan menimbulkan keraguan mengenai sistem SPR dan sebagainya kerana dari pemerhatian di kedai-kedai kopi, kenduri kendara dan majlis-majlis keramaian, didapati bahawa strategi seperti ini sudah mula diketawakan saja.

PR perlu terlebih dahulu bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada rakyat sebelum menyalahkan sistem, atau lawan, sekiranya kita kalah dalam pilihanraya kali ini.

13 comments:

  1. Susah untuk sebuah parti untuk berjalan lancar jika konflik dalaman tidak dapat diselesaikan dengan baik. Fikir-fikirlah PKR.

    ReplyDelete
  2. Betul, PR perlulah berusaha terlebih dahulu untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat sebelum menyalahakn segalanya.

    ReplyDelete
  3. PR is doomed since its formation. With the different party ideology, there will never be a solid front within this opposition pact.

    ReplyDelete
  4. Each component champions the ideals that is the driving force.

    ReplyDelete
  5. parti dan PR berlainan agenda, pasti mereka akan berbalah juga.

    ReplyDelete
  6. semua parti pun menghadapi masalah dalaman. yang bezanya bagaimana mereka dapat selesaikannya maslah tersebut agar tidak membawa bencana dalam keseluruhan parti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kebijaksanaan menyelesaikan masalah adalah penting

      Delete
  7. kalau ada pemimpin atau parti yang bersikap angkuh dan hanya mengejar kepentingan sendiri memang sukar untuk bekerjasama.

    ReplyDelete
  8. Singkirkan ahli yang menjadi liabilit kepada parti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ahli2 perlu utamakan objektif parti bukan agenda sendiri.

      Delete
  9. Inilah yang berlaku dengan PR sebenarnya..Mereka berebut inginkan kerusi tertinggi dalam PR dan parti mereka sendiri.

    ReplyDelete
  10. Anwar kehulu-kehilir menyeru rakyat Malaysia supaya menaikkan beliau sebagai pemimpin negara.. akibat kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri, habis parti diabaikan begitu saja..

    ReplyDelete
  11. nanti masa PRU mesti lagi banyak konflik antara pemimpin2 Pakatan.. biasalah setiap kali pilihanraya mesti pemimpin2 pakatan mahu mengetengahkan calon masing2..

    ReplyDelete