Tuesday 7 February 2012

PBS LANCAR KELAB BERSATU KLANG VALLEY


PARTI Bersatu Sabah (PBS) menubuhkan 'Kelab Bersatu Klang Valley' sebagai satu pendekatan dan strategi untuk menarik lebih ramai pengundi daripada kalangan anak-anak Sabah di Lembah Klang menyertai parti itu.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata penubuhan kelab itu dijangka menarik lebih ramai anak-anak Sabah yang menetap di kawasan Lembah Klang untuk menyumbangkan idea dan buah fikiran mereka kepada parti, sekaligus mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya ke-13 nanti.

"Tujuan penubuhan kelab ini adalah memberi peluang dan ruang kepada anak-anak Sabah yang tinggal di kawasan Lembah Klang untuk menyertai dan mengikuti perkembangan semasa dan sebarang aktiviti yang berkaitan PBS.

"Ramai rakyat Sabah yang menetap di kawasan Lembah Klang menunjukkan minat untuk menyertai perjuangan kerajaan dalam PBS. Jadi dengan pelancaran kelab ini ia merupakan satu cara untuk merapatkan hubungan antara anggota kelab dan parti agar saling berbincang dan bertukar fikiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kelab itu di sini. Turut hadir Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Pairin berkata kelab seumpama itu telah ditubuhkan di Johor dan PBS turut merancang menubuhkan kelab yang serupa di semua negeri di Semenanjung berdasarkan reaksi positif dan permintaan daripada anak-anak Sabah.

Pairin berkata sebagai anggota Barisan Nasional (BN) Sabah, penubuhan kelab ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada usaha kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat selain bertepatan dengan konsep 1Malaysia.

"Sehingga kini, di Johor dan Lembah Klang masing-masing mencatat seramai 300 anggota dan anak-anak Sabah yang berminat untuk mendaftar menjadi anggota kelab boleh memuat turun borang permohonan di laman web PBS www.pbs-sabah.org," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment