Thursday 2 February 2012

PBS SOKONG TRIBUNAL TANAH ADAT

PARTI Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan penuh dan merancang membawa cadangan penubuhan tribunal tanah adat kepada Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) mengenai Isu-isu Tanah yang dipengerusikan Ketua Menteri untuk dibincang dan diperakukan kepada kerajaan negeri.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Henrynus Amin berkata idea penubuhan tribunal tanah adat amat baik dan partinya mengharapkan ia segera dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkenaan.

"BN Sabah telah mengenalpasti isu tanah sebagai satu daripada prioritinya dengan Ketua Menteri sendiri mengetuai usaha mencari jalan penyelesaian," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Henrynus mengulas cadangan penubuhan tribunal itu oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Richard Malanjum pada satu seminar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Beliau berkata PBS amat menyedari dan bersimpati dengan banyak kes pertikaian tanah yang tidak dapat diselesaikan antara penduduk kampung dengan syarikat-syarikat besar.

Dalam hal sedemikian penduduk kampung yang buta huruf dan jahil mungkin kehilangan tanah adat mereka kepada syarikat-syarikat besar.

Henrynus berkata tribunal itu hendaklah menunjukkan jalan mudah dan termampu oleh tuan punya tanah adat bagi mendapatkan penyelesaian dari segi undang-undang sebagaimana pembeli rumah dan pengguna mendapat jalan penyelesaian terhadap masalah mereka. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment