Tuesday 21 February 2012

PEMIMPIN CEKAP, TIDAK BANYAK CAKAP


PEMIMPIN CEKAP, TIDAK BANYAK CAKAP

KISAR.....Azizah menuang padi ke mesin pengisar padi selepas menyerahkan bantuan itu untuk Kg Batu 70, Beaufort.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) tidak perlu banyak cakap, tetapi harus cekap menyelesaikan masalah rakyat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kepimimpinan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut semua pemimpin BN mengenalpasti keperluan rakyat secara menyeluruh dan seterusnya bertindak drastik untuk memenuhi keperluan itu.

“Inilah konsep yang dipegang oleh kerajaan BN untuk membela nasib rakyat dan meneruskan pembangunan negara yang dirancang dan dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan semasa.

“Pemimpin yang prihatin akan mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikan masalah rakyat dengan cekap tanpa banyak cakap. Bagi saya prinsip sedemikian perlu ada dalam diri setiap pemimpin BN,” katanya ketika merasmikan majlis bersama rakyat di Kg Holigilat, di sini kelmarin.

Hadir sama Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Dun Klias, Saidin Musih; Pemaju Mukim Montenior, Daniel Gimat dan Pengerusi JKKK Kg Batu 65, Sapinah Undigah.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias menyeru penduduk Kampung Holigilat agar terus menyokong kerajaan BN kerana banyak bantuan dan pembangunan yang telah disalurkan ke kampung itu untuk kesejahteraan hidup penduduk di situ.

“Hari ini kita melihat bahawa jalanraya yang menelan belanja sebanyak RM83 juta telah diluluskan dan kini sedang dalam pembinaan dan tidak lama lagi bekalan elektrik juga akan dinikmati penduduk di sini. Selain itu, bagi meningkatkan kehidupan rakyat kerajaan juga telah melaksanakan projek Mesej.

“Kita juga akan terus berusaha bagi memenuhi keperluan penduduk di sini. Justeru itu berilah sokongan secara berterusan kepada kerajaan BN bagi memastikan nasib kita dan generasi masa depan akan terus terbela,” katanya yang datang menaiki keretapi bersama-sama pemimpin BN, UPKR dan Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Bahagian Beaufort.

Pada majlis itu, Azizah menyerahkan bantuan sebanyak RM8,026.10 bagi membiayai projek penyambungan paip air graviti untuk 38 rumah penduduk empat kampung iaitu Kg Batu 65, Batu 68, Batu 69 dan Kg Batu 70 di sini.

KERETAPI....Azizah menaiki keretapi ketika turun padang ke Kg Holigilat, Beaufort.

Azizah juga menyampaikan sebuah mesin pengisar padi untuk kegunaan Penduduk Kampung Batu 70 dan beliau berkata dua kampung lagi akan mendapat bantuan yang sama dalam masa terdekat ini.

Beliau juga turut meluluskan sejumlah peruntukan untuk kerja-kerja pendawaian elektrik bangunan Balai Raya kampung yang dilawatinya itu.

Sementara itu, Sapinah dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas usaha Azizah yang telah berjaya membawa pembangunan ke kampung itu.

“Dengan daya kepimpinan dan usaha berterusan YB Datuk, kampung ini telah jauh berubah dari segi pembangunan dan kami sangat berterima kasih kepada Datuk dan kerajaan BN,” katanya sambil memberi jaminan bahawa penduduk di kampung itu akan terus menyokong kerajaan BN.

No comments:

Post a Comment