Saturday 25 February 2012

PENDAPATAN RM3,000 LAYAK POHON RMR1M



DATUK Seri Najib Tun Razak berkata program Rumah Mesra Rakyat kini dikenali sebagai Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dan kerajaan bersetuju supaya isi rumah dengan pendapatan maksimum sehingga RM3,000 layak memohon RMR1M berbanding RM1,500 sebelum ini.

Perdana Menteri berkata beliau juga menetapkan supaya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina 10,000 unit RMR1M tahun ini.

Program perumahan itu, katanya, membolehkan rakyat memiliki rumah berkualiti dan selesa serta kehidupan lebih bahagia.

"Semua Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia akan dibina dengan mengguna pakai teknologi 'Industrialised Building System' (IBS) dengan keluasan binaan lebih besar tanpa melibatkan sebarang tambahan kos kepada pemohon," katanya ketika melancarkan lapan model baru RMR1M di Durian Tunggal sempena lawatan sehari beliau ke Melaka Jumaat.

Najib menarik perhatian bahawa program itu kini dikenali sebagai RMR1M bertujuan membudayakan semangat 1Malaysia dalam kalangan penghuninya.

Najib berkata borang permohonan untuk RMR1M boleh dimuat turun di semua pejabat wakil rakyat melalui sistem 'online' bagi memudahkan pemohon memperoleh borang dan mengetahui status permohonan.

Menurut SPNB, sejak diperkenalkan pada 2002, program perumahan itu menyaksikan pembinaan 20,308 unit rumah.

Ketika ditemui pada majlis itu, Pengerusi SPNB Datuk Idris Haron berkata penggunaan teknologi IBS mampu menghasilkan rumah yang berdaya tahan, ekonomik dan inovatif.

"Ia mampu mempercepatkan jangka masa pembinaan ke 14 hari berbanding 70 hari mengikut kaedah konvensional," katanya.

Pembinaan RMR1M itu berkonsepkan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 1,000 kaki persegi, serta mengikut spesifikasi majlis kerajaan tempatan dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam Malaysia. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment