Saturday 18 February 2012

PENYAMUN BALAK RESAH, PETER JACK MELATAH?



Saudara Pengarang,


PENDEDAHAN surat saya di Sabahkini.net bertajuk 'Simon Ling Mengganas, SPRM Semakin Malas' nampaknya meresahkan semua penyamun balak; termasuk mereka yang bersubahat, seperti Peter Jack @ Osman; sehingga sanggup mendedahkan diri membantu penjenayah menyembunyikan 'harta rompakan' di Konsesi YS 307(2).

Saya tidak gentar sekalipun mereka berusaha mengesan saya melalui pelbagai cara kerana saya yakin dengan kredibiliti Sabahkini.net yang tidak mendedahkan rahsia pemberi maklumat.

Lebih mengejutkan Peter Jack dan beberapa kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah datang begitu jauh dari Sandakan pada jam 2.30 petang kelmarin dan berjumpa dengan Ah Heing dan memberikan arahan untuk menyembunyikan balak-balak haram atau istilah 'Tukang Zero-Zero' (pembalak haram) iaitu balak yang tiada surat beranak.

Tindakan Pegawai Perhutanan seperti Peter Jack adalah lumrah kerana sekitar 1991 Jabatan Audit Negara menemui bukti balak curi yang ditanam di Segaliud; dan kini sejarah berkenaan diulang kembali di Tongod.

Kesemua kayu milik LDD, kayu larangan, kayu di bawah dan di atas saiz yang dibenarkan telah mula di kubur di dalam tanah berdekatan kawasan panggung atau dipindah masuk ke dalam hutan yang jalannya diputuskan melalui pembinaan parit besar.

Namun balak yang sudah dibayar royalti (CS), kayu tumbang matahari atau sedang memohon CS tersusun cantik di panggung (stumping) yang di bawahnya ditanam balak haram, curi atau di bawah saiz.

Persoalan yang timbul sekarang siapakah yang melindungi kegiatan Mafia Pembalakan ini di Hutan Simpan Pinangah (YS307(2)) sejak awal Februari lalu sehingga semua balak haram dapat diproses dengan mudah di kilang haram, Ganda Deras Sawmill atau dibawa ke Pangkalan Lalagud di Tawau; jika pihak berkuasa tidak boleh dirunding?

Saya tidak dapat mengenal pasti apa hubungan Peter Jack @ Osman sebagai Pegawai Perhutanan Daerah Sandakan dengan Pengarah Hutan, Datuk Sam Mannan; tetapi yang pastinya semua kayu balak haram milik LDD dijadikan kayu bergergaji di kilang papan Ganda Deras di tengah-tengah Hutan Simpan tanpa bantahan Sam Mannan.

Jangan lupa, rasuah di Jabatan Perhutanan bukan sahaja dibolot oleh Pengarah atau Pegawai Kanan; malah kadang-kadang sekadar cukup berunding dengan Penjaga Gate jambatan besi atau kakitangan bawahan Yayasan Sabah atau Jabatan Perhutanan; boleh menjimat kos, jika tidak, bagaimana kayu yang tidak dibayar royalti boleh sampai ke Pangkalan Lalangud dan Kong Hing?

Salam Hormat,

SERENITY PINKY

No comments:

Post a Comment