Saturday 18 February 2012

PERINTAH INTERIM HALANG KPF LUPUS EKUITI



Oleh : MOHD FARHAN DARWIS (TMI)

MAHKAMAH Tinggi Kuantan hari ini membenarkan injunksi interim bagi melarang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu petang ini selepas mendengar Saman Dalam Kamar (Ex-Parte) yang dikemukakan lapan pemegang saham KPF.

Antara permohonan yang dibuat plaintif (ahli KPF) adalah injunksi interim yang melarang sebarang perbincangan, menguatkuasakan sebarang keputuan, dan melupuskan samada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holding dan sepuluh anak syarikat milik FGVH.

“Keputusan itu sangat menggembirakan warga Felda dan perjuangan kita untuk memastikan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tidak berlaku,” kata Presiden Anak, Mazlan Aliman (gambar) dipetik Harakahdaily hari ini.

Menurut Mazlan, mesyuarat agung khas (EGM) KPF pada 22 Februari ini boleh dilaksanakan tetapi, mereka tidak boleh membincangkan berkenaan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

“EGM boleh diadakan tapi mereka tak boleh bincang tiga perkara yang dipohon itu, kata Mazlan lagi.

Sementara itu, peguam Harris Abdullah berkata, jika EGM tersebut tetap membincangkan penyenaraian FGVH, mereka boleh didakwa menghina mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami tak halang mereka mengadakan EGM tersebut, tetapi jangan bincang soal pelupusan ekuiti KPF untuk penyenaraian FGVH.

“Kalau mereka tetap usulkan perkara ini, kita boleh mendakwa mereka kerana menghina mahkamah dan tindakan undang-undang boleh diambil. Jadi mereka kena patuh pada perintah mahkamah,” katanya yang juga merupakan ahli jawatankuasa Anak.

No comments:

Post a Comment