Saturday 25 February 2012

PEWARIS GOMANTONG MULA BERTELAGAH



SETERU.....Nagra Kassim (Kanan) Vs Pg Ismail dalam isu sarang burung di Gua Gomantong.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

EKORAN ketidak kepuasan hati beberapa pihak, termasuk beberapa orang yang mendakwa diri mereka adalah keluarga pewaris Sarang Burung Gua Gomantong semakin hangat menuding jari antara satu sama lain.

Ini jelas kerana Pg Ismail Pg Abd Hamid yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Keluarga Pewaris Sarang Burung Gua Gumantong tidak berasa senang atas dasar pihak kerajaan yang menyembunyikan tender-tender mengutip sarang burung daripada penender-penender lainnya.

Dalam kenyataan media Pg Ismail seperti yang tersiar di Sabahkini.Net pada 20 Februari 2012 bertajuk 'Tender Sarang Burung Olok-Olok' antara lain mendakwa bahawa bahawa Jabatan Hidupan Liar melakukan penyelewengan dan sabotaj terhadap para penender lain.


Kata Pg Ismail lagi, pihak Jabatan tersebut menggunakan kuasa veto untuk meluluskan tender kepada kroni dan kuncu mereka.

Pg Ismail turut mengaitkan Ketua Menteri Sabah yang kononnya bersekongkol dalam pelaksanaan pembahagian tender-tender berkenaan.

Disebabkan tindakan pihak kerajaan yang tidak telus meluluskan tender-tender kepada syarikat tertentu untuk memungut sarang burung sehingga mengenepikan kepentingan setengah pihak, telah menimbulkan kemarahan di kalangan para penender yang agak kecewa; setelah tender mereka ditolak mentah-mentah oleh Jabatan Hidupan Liar.

Disamping itu, Pg Ismail turut mendesak supaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) campurtangan bagi menyiasat dengan terperinci terhadap penyelewengan ini yang didakwa semakin bermaharajalela dan sukar untuk dibendung lagi.

Sabahkini.Net yang sentiasa mengikuti perkembangan isu sarang burung kelmarin telah dikhabarkan oleh seorang pewaris, Asbal yang pro Pg Ismail sudahpun melaporkan kes penyelewengan pegawai-pegawai Jabatan Hidupan Liar ke Balai Polis Sandakan dan juga kepada SPRM; di samping memfailkan saman terhadap pegawai Jabatan Hidup Liar.

Sementara itu, pihak yang menyokong kerajaan dan Datuk Musa Hj Aman tidak rela Ketua Menteri Sabah dicaci atau dihina kerana mengaitkan nama beliau (Musa) dalam kes tender-menender tersebut.

Seorang Ketua Cawangan UMNO Kampung Perumahan Setinggan Batu Putih, Jalan Airport, Nagra Kassim benar-benar marah kepada orang Sungei yang mengaitkan nama Ketua Menteri Sabah sebagai dalang meluluskan tenter-tender berkenaan.

Dalam kenyataannya bertajuk 'Jangan Politikkan Isu Gomantong', Nagra menyifatkan kenyataan Pg Ismail sebagai kebudak-budakan dan tidak masuk akal kerana menuduh membabi buta tanpa bukti yang melampuai keraguan munasabah.

Kata Nagra, beliau akur dengan apa juga keputusan Kerajaan mengenai kelulusan tender sarang burung dan mencabar Pg Ismail agar membuat laporan kepada SPRM jika mempunyai bukti.

Bukan setakat itu sahaja, malah Nagra telah memberi amaran kepada suku kaumnya jangan sesekali menghina Musa yang pada pandangan merupakan seorang pemimpin yang sukar ditandingi, bahkan layak dicatatkan sebagai Ketua Menteri yang mencipta pelbagai rekod ekonomi di dalam Malaysia Books of Guinness Record.

No comments:

Post a Comment