Tuesday 21 February 2012

RCI MUNGKIN TIDAK BERMAKNA?

Oleh : MUTALIB M.D

SINDROM 'kegatalan' melacurkan diri secara sukarela dalam arena politik menyebabkan munculnya ramai 'Bapa Ayam' yang melobi menjadi pemudah cara iaitu mencari pelanggan sehingga sanggup meremehkan kedaulatan undang-undang ke kaki lima, demi untuk survival politik mereka.

Kita mungkin tidak boleh menyalahkan Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Maximus Ongkili 100 peratus apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang dicanangkan akan mengumumkan keputusan Kabinet mengenai RCI ketika lawatannya ke Sabah pada 16 dan 17 Februari lalu, tidak membuat sebarang pengumuman rasmi.

Rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana mempunyai Perdana Menteri yang tahu membuat kerja dan tidak menjadikan undang-undang sebagai kertas surat khabar lama untuk pembungkus nasi lemak 60 sen di Chow Kit.

Di zaman Pak Lah, 'Titah Perintah' Pak Lah adalah undang-undang yang tidak perlu bersurat sekalipun bercanggah dengan undang-undang seperti dalam kes NFC, PKFZ, Oil For Food dan Kapal Selam.

Malah sikap Pak Lah yang memutuskan sendiri sebarang tindakan yang mahu diambil kerajaan menjadi punca utama Tan Sri Bernard Dompok meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti pada 2006; setelah jawatankuasa yang dipengerusikannya menjadi 'Itik Tempang' atau 'Panel Kangaroo'.

Tidak ada rakyat Sabah yang marah atau terkilan apabila Najib tidak mengumumkan keputusan kerajaan dalam lawatan kerja ke Sabah, melainkan golongan oportunis dan 'Bapa Ayam' yang menjual isu politik demi survival politik mereka.

Sebagai seorang Perdana Menteri yang berwibawa, Najib bagaikan 'Pahlawan Ulung' yang tidak akan berpencak silat sesuka hati di luar gelanggang, melainkan 'Panglima' hilang gelanggang seperti Pak Lah ketika menjadi Perdana Menteri; sehingga letih dan tertidur sebelum dapat menepis serangan lawan.

Memandangkan isu ini melibatkan Perlembagaan dan Undang-undang, maka difahamkan Najib bersikap pasif di Sabah dan dijangka hanya akan mengumumkan keputusan Kabinet Malaysia pada Persidangan Parlimen yang dijadualkan pada 12 Mac 2012 atau selewat-lewatnya pada akhir sesi parlimen iaitu 12 April 2012.

Isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) melibatkan banyak undang-undang, termasuk Akta Imigresen, Akta Pendaftaran Negara, Akta Polis, Akta Acara Jenayah, Kanun Keseksaan dan sebagainya, maka keputusan Kabinet Malaysia berhubung isu ini hanya sesuai dibuat di dalam sidang Parlimen.

Walaupun Najib tidak mungkin boleh menjanjikan 'bulan bintang' seperti yang dijanjikan pemimpin pembangkang atau pemimpin BN atau 'Bapa Ayam'; namun bakal memberikan penyelesaian kepada masalah yang dideritai Sabah sepanjang 40 tahun lalu.

Rakyat Sabah tidak boleh terlalu berharap RCI akan menjadi penyelesai masalah PATI secara tuntas kerana kekangan undang-undang antarabangsa terutama hak kerakyatan yang akan diputuskan berdasarkan tempoh atau jangkamasa PATI itu tinggal di sesebuah negara.

Dalam kes PATI di Sabah, hanya sedikit yang boleh dilakukan Kerajaan Persekutuan terhadap 'Warga Penyu' iaitu mereka yang telah mendapat IC Projek setelah Pendakwaraya gagal dalam beberapa kes besar seperti Salman Majid; kerana undang-undang PBB tidak membenarkan sesebuah negara mencabut kerakyatan seseorang jika tindakan tersebut akan menyebabkan orang itu menjadi tidak ber'negara'.

Masalahnya, ramai PATI di Sabah tidak bernegara atau warganegara 'Penyu' menyebabkan mereka terpaksa menjadi 'Ayam Karan' yang diberi makan oleh rakyat Malaysia di Pusat Tahanan Sementara kerana tidak dapat dihantar balik ke mana-mana negara, disebabkan tidak ada negara yang mahu mengeluarkan dokumen perjalanan kepada mereka.

Bagi PATI yang telah mendapat MyKad Projek, Kerajaan Persekutuan hanya mampu menukarkan kod negara kelahiran mereka iaitu 61 (Indonesia); 65 (Filipina), 74 (China), 75 (India), 76 (Pakistan) dan sebagainya bagi menggantikan kod 12, 47, 48 dan 49 untuk kod negeri di MyKad.

Masalahnya bagi yang tidak mempunyai apa-apa melainkan 'kemaluan', Kerajaan terpaksa menawarkan dokumen pengenalan diri, sama ada Kad Pengenalan Sementara atau Taraf Penduduk Tetap sebelum boleh dipertimbangkan sebagai Warganegara.

Tetapi mahukah rakyat Sabah menerima cadangan berkenaan yang mungkin akan menjadikan RCI hanya sebagai 'Alat Politik' golongan tertentu, tetapi tidak boleh menyelesaikan masalah menurut Perlembagaan.

Alasan pihak tertentu bahawa Kerajaan Malaysia masih membayar RM5,000 setahun kepada Waris Sultan Sulu untuk menghalalkan Sabah sebagai Tanah Jajahan Filipina; adalah pandangan nakal dan dangkal kerana bayaran yang dibuat kepada Peguam Waris Kesultanan Sulu, Ulka T Ulama bukanlah pampasan; tetapi hanyalah 'Cession Money' atau wang nafkah atau saguhati; bukannya membuktikan kedaulatan Sulu ke atas Sabah.

Titik temu kepada masalah penubuhan RCI ialah 'Political Will' yang belum pernah dipunyai oleh lima Perdana Menteri yang lalu, tetapi mungkin boleh disandarkan kepada Najib yang telah mengiktiraf 16 September sebagai Hari Malaysia dan Cuti Umum.

No comments:

Post a Comment