Saturday 18 February 2012

SABAH BAKAL TERIMA 300 MEGAWATT

Oleh : S.CONNIE PEARL SUIL

Sabah dan Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan bakal mendapat tambahan kapasiti penjanaan sebanyak 300 MegaWatt (MW) daripada sumber gas asli setelah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) memeterai perjanjian pembelian tenaga di Kota Kinabalu, kelmarin.

Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir. Hj. Abd Razak Sallim berkata dalam usaha penambahan kapasiti penjanaan baharu itu, sebanyak RM129 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembinaan talian penghantaran sejauh 50 kilometer (KM).

“Projek itu akan dibina dari Stesen Janakuasa Bebas (IDP) Kimanis hingga ke Pencawang Masuk Utama (PMU), Kolopis Penampang,” katanya di majlis menandatangani Power Purchase Agreement di antara SESB dan KPSB.

Menurutnya, permintaan tinggi tenaga elektrik yang pernah direkodkan pada beban puncak adalah sebanyak 830MW pada 28 Jun tahun lepas.

“Oleh itu, apabila projek ini bermula, ia akan memberi impak positif terhadap peningkatan daya harap, kestabilan rangkaian Grid Sabah dan W.P Labuan.

“Selain itu, mutu penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik kepada pengguna dapat dipertingkatkan dan seterusnya menyumbang kepada penurunan gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd, Samsudin Miskon berkata perjanjian pembelian tenaga itu merupakan salah satu inisiatif dalam rancangan kerajaan terhadap Pelan Pembangunan Induk Bersepadu Kuasa Elektrik.

Katanya, rancangan 300 MW kapasiti itu dirancang akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu setiap fasa mempunyai kapasiti 100 MW.

Beliau yang juga Pengerusi Kimanis Power Sdn Bhd berkata, tarikh operasi komersial (COD) pertama disasarkan pada 1 Disember 2013 dan akan mencapai kapasiti maksimum pada 1 April 2014.

“Dijangka apabila siap, projek ini akan menyumbang kira-kira 25 peratus elektrik daripada jumlah permintaan elektrik di Sabah.

“SESB telahpun memberikan sokongan penuh dalam projek yang dapat mengurangkan kos penjanaan elektrik ini serta bagi meningkatkan kecekapan melalui teknologi yang unggul,” katanya.

Samsudin turut berharap agar perjanjian itu juga akan menjadi kerjasama serta usaha dalam meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial yang seterusnya menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Pangiran Hassanel Hj. Pengiran Mohd. Tahir; Timbalan Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Dr. John Arrifin Hj. Abdul Samad; Ahli Lembaga Pengarah Kimanis Power Sdn Bhd, Sukri Ibrahim dan Pengarah Urusan Kimanis Power Sdn Bhd, M.Ali Ibrahim.

No comments:

Post a Comment