Sunday 5 February 2012

SAMPAI BILA KAMI GUNA KERETAPI INDIANA JONES?



VIDEOKLIP KERETAPI INDIANA JONES

KECEWA.... KK Solomon Tandon (kiri) dan Manggang kecewa kerana lokomotif berusia 30 tahun ini semakin uzur dan hanya mampu menarik dua gerabak sahaja.

Oleh: THAMPPAREQ KITOES

SERAMAI 3,000 penduduk di kawasan Pangi, Tenom, merangkumi enam perkampungan terus mendesak Kerajaan Barisan Nasional mengganti lokomotif yang digunakan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang rosak teruk sehingga perkhidmatan kereta api tergendala sejak sebulan lalu.

Setidak-tidaknya, kata mereka satu langkah alternatif harus lakukan sebagai langkah sementara bagi membantu para pengguna/penduduk di kawasan terbabit untuk menyelesaikan urusan seharian mereka ke bandar, selain untuk memasarkan hasil pertanian mereka ke bandar.

Demikian kenyataan bersama mantan Pengerusi JKKK Kg Pangi, Manggang Ingkim, 66, yang turut disokong Ketua Kampung (KK) Kg Motolop, KK Solomon Tandon, 47, kepada Sabahkini.net sebentar tadi.

“Kami bukan mengkritik kerajaan secara membabi buta atau pun menuduh kerajaan lemah, tetapi kami sedia menjemput pegawai mahu pun wakil rakyat datang sendiri melihat keadaan kami di sini; apakah benar masalah yang kami timbulkan ini atau sebaliknya,” tegas Manggang.

Tambah Manggang lagi, jika perkhidmatan itu tergendala sekadar sehari dua itu perkara biasa, tetapi bayangkanlah kalau perkhidmatan itu sudah tergendala lebih sebulan.

"Siapa yang tidak marah? Lagi pun kami tiada laluan lain selain daripada mengharapkan perkhidmatan keretapi untuk urusan seharian penduduk di sini,” tambah Manggang lagi dengan nada yang agak marah.

Penduduk di kampung yang terlibat mengharapkan perkhidmatan keretapi setiap hari merangkumi Kg Rayoh, Kg Batu 75, Kg Batu 78, Kg Kalandos, Kg Pangi Proper, dan Kg Motolop ; termasuk kanak-kanak sekolah yang belajar di SK Pangi.

Manggang seterusnya berkata, adalah kurang logik jika lokomotif yang berusia lebih 30 tahun yang sudah jelas kelihatan uzur dan daif masih terus digunakan sebagai teras utama perkhidmatan pengangkutan kepada penduduk di sini; sedangkan keperluan pengangkutan awam semakin meningkat, termasuk untuk mengangkut hasil tani seperti getah, kopi, padi yang mencecah kira-kira lebih seribu tan sebulan; tidak termasuk penumpang.

"Apakah ia masih terus bertahan dalam keadaan sedemikian rupa atau kerajaan perlu mentransformasikan pengangkutan awam seperti yang diwar-warkan kerajaan ketika ini? Mana sudah slogan kerajaan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'?" ujar Manggang lagi yang yakin jika slogan itu dilaksanakan tidak mungkin penderitaan penduduk Pangi berlarutan.

Manggang menegaskan, oleh kerana tidak lagi tahan dengan penderitaan yang mereka alami, maka penduduk kampung sepakat memberi kata dua (altimatum) kepada kerajaan, sama ada kerajaan menangani masalah pengangkutan mereka secara serius atau kami terpaksa menggunakan troli buatan sendiri yang diharamkan kerajaan sebelum ini.

"Sampai bila kami mau guna kereta api Indiana Jones? Kami terpaksa dan tiada pilihan lain. Bukan masalah itu sahaja, malahan talian telekomunikasi seperti yang pernah dijanjikan Timbalan Menteri Persekutuan tahun 2011 sehingga sekarang tiada juga menara dibina. Apa sudah jadi dengan janji Timbalan Menteri itu?” tanya Manggang.

Sementara itu, KK Solomon Tandon turut merasa gusar dan terkilan dengan keadaan itu dan beliau menyifatkan perkampungan Pangi dan sekitarnya seolah- olah berada di luar dunia lain kerana tidak menikmati kemudahan asas yang baik sepertimana terdapat di perkampungan lain; sedangkan Pangi dikategorikan hanya 9 kilometer dari Pekan Tenom.

Justeru, kedua-dua pemimpin tersebut (KK Solomon dan Manggang) menggesa kerajaan supaya masalah perkhidmatan keretapi yang dihadapi penduduk penduduk sekitar Kg Pangi diselesaikan secepat mungkin dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

RAIL BUS....Pengangkutan ini sama sepert bas berhawa dingin tetapi telah rosak lebih dua tahun lalu dan tidak dibaiki.

No comments:

Post a Comment