Tuesday 21 February 2012

SIKAP BURUK SIKU JHEAINS DIKESALI

Oleh : MOHD FIRDAUS MUHD NOOR

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mendesak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menarik balik arahan pembayaran balik Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM100 yang telah diberikan kepada semua pelajar di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini berkuatkuasa serta merta.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, arahan penarikbalikan bantuan tersebut mencerminkan ketidakbertanggungjawab sebuah institusi agama yang menjadi nadi utama dan teras pembangunan akhlak dan kemasyarakatan di negeri ini.

“Ini satu bentuk ketidakadilan dan kezaliman yang seolah-olah mencerminkan tingkah laku pengurusan JHEAINS kepada pihak sekolah".

Selain itu, Lahirul menggesa agar JHEAINS perlu meneliti setiap tindakan agar tidak membebankan pihak sekolah dengan kos tanggungan yang terpaksa ditanggung sekolah tersebut.

“Sebelum mengarahkan sesuatu, pihak JHEAINS perlu minta pandangan dan respon daripada pihak sekolah. Macam mana pihak sekolah mahu bayar balik, sedangkan duit sudah diserahkan kepada pelajar. Jadi, kenapa pula pihak sekolah dipersalahkan?,” ujar Lahirul.

Kata Lahirul, JHEAINS menerusi surat bertulisnya kepada semua SAN dan SAR negeri pada 1 Februari lalu meminta agar mengembalikan semula peruntukan bantuan tersebut ke Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selewat-lewatnya pada 8 Mac ini.

Menurut surat itu juga, pelajar yang telah menerima bantuan berkenaan di Sekolah Kerajaan atau Sekolah Bantuan Kerajaan tidak boleh menerima bantuan itu sekali lagi.

Bagaimanapun, pihak sekolah yang terlibat memberi reaksi tidak berpuas hati dengan arahan tersebut yang jelas mendiskriminasi pelajar sekolah agama.

“Pihak sekolah berasa kesal dengan arahan ini. Ini sekaligus menunjukkan juga berlakunya satu bentuk yang dinamakan diskriminasi kepada sekolah agama, kata orang kita buruk siku,” jelas Lahirul.

Sehubungan dengan itu, kira-kira 10 buah sekolah SAN dan SAR seluruh Beaufort membantah arahan ini dan meminta agar JHAEINS menarik balik arahan tersebut berkuat kuasa serta merta.

No comments:

Post a Comment