Sunday 5 February 2012

SPNB TIDAK LAGI PULIH PROJEK TERBENGKALAI

SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB), tidak lagi bertanggungjawab memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai sejak 2010, kata Pengarah Urusannya Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh.

Beliau berkata menurut dasar yang diputuskan kerajaan pada tahun 2010, projek terbabit kini diurus sepenuhnya oleh Persuruhjaya Bangunan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya difahamkan bahawa kementerian terbabit akan bekerjasama dengan pemaju perumahan untuk memulihkan projek-projek terbengkalai," katanya kepada Bernama.

Kamarul berkata SPNB bagaimanapun akan meneruskan pembangunan projek terbengkalai di Taman Tangkak Emas dan Taman Jasa Amir, kedua-duanya di Johor, mulai Mac ini setelah terbengkalai sejak 2005.

Menurut Kamarul, isu projek terbengkalai berlaku di seluruh negara, namun projek perumahan terbengkalai lebih banyak berlaku di kawasan pantai barat Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Tahun lepas, SPNB memulihkan 1,004 unit rumah terbengkalai, masing-masing di Taman Bukit Riah, Pengkalan Hulu, Perak, Taman Jalan Intan Pertama, Grik, Perak, Taman Desa Bakti, Machang Kelantan, Taman Desa Guru, Kuching, Sarawak, Taman Desarina, Kuala Lumpur and Taman Mawar, Kulai Johor.

Kamarul juga menyuarakan kebimbangan beliau mengenai kos pemulihan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang semakin meningkat.

Bagi rumah kos sederhana, katanya tidak ada masalah untuk menarik pemaju swasta memandangkan harganya lebih kompetitif.

"Usaha memulihkan rumah kos rendah dan sederhana rendah tidak menjamin keuntungan, selain pemaju perlu menanggung kos yang meningkat.

"Jika pemaju sedia menanggung risiko, kami menyambut baik usaha mereka, dan memandangkan risiko itu, kerajaan perlu menyediakan mekanisme untuk memajukan projek terbengkalai," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment