Saturday 4 February 2012

SPRM SIASAT TUNTUTAN PALSU DI UMS

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap Universiti Malaysia Sabah berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan kontrak bernilai RM43 juta.

Bagaimanapun, Pengarah SPRM Sabah, Jalil Jaafar, berkata siasatan dikendalikan oleh ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

"SPRM Sabah tidak ada kena mengena dengan siasatan yang dijalankan ke atas UMS," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Semalam, seorang jurucakap UMS memberitahu sebuah akhbar tempatan bahawa UMS sedang bekerjasama dengan SPRM mengenai dakwaan itu yang dikatakan turut melibatkan seorang Timbalan Ketua Umno bahagian bergelar 'Datuk' berusia 41 tahun.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Umno Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abdul Karim berkata tidak ada Timbalan Ketua Umno bahagian bergelar 'Datuk' disiasat oleh SPRM.

Katanya SPRM perlu tampil memberi penjelasan berhubung status orang yang disiasat bagi mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan nama baik seseorang yang berjawatan Timbalan Ketua Umno bahagian di Sabah.

"Tanpa penjelasan SPRM, masyarakat umum akan beranggapan bahawa ahli politik yang disiasat itu adalah seorang Timbalan Ketua Umno bahagian sedangkan orang yang disiasat itu bukan seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Bahrin berkata SPRM dan pengurusan UMS perlu memaklumkan jabatan atau seksyen mana dalam universiti itu yang disiasat agar persepsi positif masyarakat terhadap universiti itu secara keseluruhannya tidak terjejas. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment