Saturday 4 February 2012

TNB BEKALKAN KUASA KEPADA BANGLADESH

Oleh : PREM KUMAR PANJAMOTHY

TENAGA Nasional Bhd berminat untuk membangunkan sebuah loji kuasa janaan arang batu bernilai US$2.5 bilion (RM7.525 bilion) di Cox's Bazar, Bangladesh, berdasarkan usaha sama, untuk menampung permintaan bagi kuasa di negara itu.

Duta Khas (Prasarana) ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri Samy Vellu, berkata syarikat gergasi utiliti nasional itu dan Lembaga Pembangunan Kuasa Bangladesh (BPDB) telah menyatakan minat untuk bersama melaksanakan projek itu dan keputusan mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

"Akan ada pelaburan daripada kedua-dua pihak," katanya.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan janji niaga itu, kerajaan Bangladesh telahpun melibatkan TNB dan telah memberikan surat hasrat yang menunjukkan minatnya untuk mengadakan usaha sama bagi tujuan itu.

"Pada masa ini, kedua-dua pihak berbincang untuk mencapai persetujuan mengenai perkongsian ekuiti dan kos pengeluaran elektrik bagi loji kuasa mega janaan batu arang itu," kata sumber itu, yang enggan namanya disiarkan.

"TNB adalah sebuah syarikat yang memiliki pengalaman bertahun-tahun lamanya dalam janakuasa dan Bangladesh memerlukan banyak kuasa. Inilah sebabnya kerajaan Bangladesh mahu bekerjasama dengan kita," jelas Samy.

"TNB telah melihat tempat itu dan sedang menjalankan kajian usaha wajarnya sendiri," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara Jumaat.

Jika janji niaga ini berjaya diteruskan, usaha sama ini akan menandakan penceburan TNB dalam sektor kuasa Bangladesh.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Samy berkata memandangkan kepakaran Malaysia dalam sektor kuasa dan tenaga, Dhaka menyuarakan hasrat untuk menandatangani perjanjian kerjasama kuasa dengan Malaysia.

Beliau berkata Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, yang juga Menteri Kuasa, Tenaga & Sumber Galian Kabinet Persekutuan, telah menyuarakan kesungguhannya berhubung kerjasama kuasa itu.

"Daripada apa yang saya lihat semasa lawatan saya ke sana (Bangladesh) baru-baru ini, perbincangan sedang berjalan," kata Samy.

Satu Memorandum Persefahaman antara Kuala Lumpur dan Dhaka berhubung perjanjian kerjasama kuasa itu dijangka ditandatangani apabila Menteri Kuasa, Tenaga dan Sumber Galian Negara Bangladesh, Muhammad Enamul Huq, melawat Malaysia dalam masa terdekat ini.

Laporan menunjukkan hanya 40 peratus penduduk Bangladesh mendapat bekalan elektrik dengan bekalan per kapita 136 jam kilowat (kWh) setahun.

No comments:

Post a Comment