Friday 16 March 2012

242,294 PENGUNDI AWAL PRU13


KESEMUA 242,294 pengundi pos akan secara automatik menjadi ‘pengundi awal’ pada Pilihan Raya Umum akan datang, sekali gus memantapkan lagi ketelusan proses pilihan raya di negara ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, daripada jumlah itu, 147,681 orang adalah anggota tentera manakala 94,613 anggota polis.

Katanya, ini berikutan pelaksanaan peraturan baharu yang diperkenalkan buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

“Pengundian secara pos ini menimbulkan kontroversi seolah-olah undi pos tidak telus dan perkara ini telah dibawa dalam perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan setelah dipersetujui supaya pengundian awal diperkenalkan, SPR sendiri bersetuju mengendalikan pilihan raya awal ini.

“Proses pengundian awal ini sama juga dengan proses biasa iaitu tidak menggunakan sampul surat dan ‘karung’, cuma masa dan hari mengundi sahaja yang berbeza. Pengundian awal ini mungkin diadakan lebih awal iaitu dua atau tiga hari sebelum hari pengundian sebenar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat khas untuk pegawai pengurus dan ketua polis daerah di sini semalam.

Mohd Aziz berkata, tujuannya ialah membolehkan pihak tentera dan polis dengan pasangan mereka mengundi lebih awal dan tidak perlu mengundi pada hari pengundian kerana menjalankan tugas masing-masing.

“Dalam peraturan awal ini, semua yang dulu layak mengundi pos, kini boleh menjadi pengundi awal.

Bagaimanapun, mana-mana anggota polis dan tentera yang terpaksa bertugas pada hari pengundian atau penamaan calon terutama yang berkhidmat di perbatasan atau sempadan boleh dipertimbangkan untuk mengundi secara pos,” katanya.

“Maknanya mereka ini tidak boleh dikumpulkan di dewan sama ada di ibu pejabat polis atau pejabat polis daerah atau kem tentera, maka kumpulan iniboleh memohon kepada SPR mengikut Borang 1 untuk dipertimbangkan oleh SPR sama ada mereka ini boleh diluluskan sebagai pengundi pos atau pun tidak.

“Yang meluluskan mereka ini sebagai pengundi pos ialah pegawai pengurus pilihan raya di tempat mereka mengundi,” katanya.

Abdul Aziz berkata, SPR akan menggunakan warna dakwat kekal berbeza untuk pengundi awal dan pengundi biasa, bertujuan mengelak berlakunya kes mengundi dua kali.

“Tentu sekali kita gunakan dakwat kekal yang agak tahan lama untuk pengundi awal.

Orang ramai tidak akan tahu warna dan jenis botol dakwat kekal yang digunakan sehinggalah sehari sebelum hari pengundian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata, seramai 8,000 anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan perjalanan Pilihan Raya Umum di Sabah.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil tindakan proaktif untuk memastikan semua anggotanya dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal. (Bernama)

3 comments:

  1. bgslah, dgn ini takkan ada lagi dakwaan manipulasi undi pos .

    ReplyDelete
  2. Apa pun rancanglah pengundian yang baik dan bersih untuk PRU akan datang nanti.

    ReplyDelete