Saturday 3 March 2012

40,000 RUSIA AKAN 'SERBU' MALAYSIA

Oleh : NOR FARIDAH ABD RASHID

MALAYSIA dijangka menerima lebih ramai pelancong Rusia tahun ini kerana kedudukannya sebagai destinasi popular bagi mereka yang ingin mengelak musim sejuk, kata duta negara itu ke Malaysia Lyudmilla G. Vorobyeva.

Beliau berkata tahun lepas, kira-kira 40,000 rakyat Rusia mengunjungi negara ini dan pada tahun ini, jumlahnya dijangka bertambah.

"Asia Tenggara kini merupakan destinasi yang semakin popular, terutama pada musim sejuk," kata Vorobyeva, 47, yang mula bertugas di sini pada Ogos 2010.

Ketika berkongsi pandangannya dengan Bernama tentang pelbagai topik di pejabat beliau di sini baru-baru ini, duta itu berkata orang Rusia sukakan 'matahari, pantai dan alam semulajadi' dan Malaysia, yang beliau sifatkan sebagai negara yang indah, memiliki semua itu.

"Selalunya, pelancong Rusia akan menghabiskan masa kira-kira lima hingga tujuh hari di Malaysia untuk mengunjungi lokasi seperti Langkawi, yang mempunyai penerbangan terus dari Rusia pada musim sejuk, serta Sabah dan Sarawak.

"Pertambahan penerbangan dari Rusia ke Kuala Lumpur juga menarik minat rakyat Rusia untuk melawat Malaysia," katanya.

Laporan menyatakan syarikat penerbangan Rusia S7 Airlines sedang berunding dengan Malaysia Airports Holdings Bhd untuk memulakan perkhidmatannya ke Kuala Lumpur, sebagai tambahan kepada penerbangan seminggu sekali yang disediakan Transaero Airlines dari Moscow ke KLIA. Mulai bulan ini, Transaero akan menambah penerbangannya kepada dua kali seminggu.

Namun demikian, kata Vorobyeva, yang berpengalaman luas dalam bidang diplomatik dan pernah menyandang pelbagai jawatan di kedutaan negaranya di Laos dari 1980 hingga 2005, di sebalik perkembangan positif itu, wujud satu kelemahan iaitu kekurangan maklumat tentang Malaysia dan Rusia.

"Tidak banyak maklumat yang ada tentang apa yang berlaku di negara saya dan negara anda. Kita perlukan lebih banyak maklumat tentang perkara itu dan dalam hal ini, hubungan antara rakyat serta kegiatan pelancongan boleh meningkatkan pengetahuan kita tentang negara satu dengan lain," katanya.

Pelancongan boleh menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara rakyat dan boleh membuka jalan bagi perniagaan dan pelaburan seperti yang berlaku di Thailand, apabila mereka yang mengunjungi negara itu sebagai pelancong, kemudiannya kembali untuk menjalankan perniagaan, kata Vorobyeva, yang pernah menyandang jawatan menteri penasihat kedutaan Rusia di Thailand dari 2005 hingga 2007.

Beliau memuji Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen kerana berjaya mempromosikan Malaysia dengan berkesan di Rusia hingga ramai rakyat negara itu mengenali Malaysia atau sekurang-kurangnya tahu kedudukan negara ini di peta dunia.

Beliau berkata kedutaan Rusia di sini berhasrat merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara melalui penyediaan maklumat yang diperlukan.

Katanya Malaysia memiliki satu ciri yang sama dengan Rusia iaitu sebagai negara pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata di Rusia terdapat kira-kira 20 juta umat Islam, di samping penganut Kristian dan Buddha.

Rusia mempunyai lebih 145 juta penduduk dengan lebih 160 bangsa yang menggunakan bahasa masing-masing. Sebahagian besar penduduknya, iaitu 80 peratus, berbangsa Rusia, manakala selebihnya berbangsa Tatar, Ukrain, Chuvash, Belarus, Mordov, Jerman, Chechen, Avar, Armenia dan lain-lain.

Mengenai daya tarikan pelancongan yang terdapat di Rusia, khususnya bagi rakyat Malaysia, Vorobyeva berkata oleh kerana negara beliau besar saiznya, mereka mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi, termasuk ibu negaranya Moscow, St Petersburg dan Siberia.

Moscow bandar raya yang serba maju dan mempunyai banyak pawagam serta persembahan seni dan budaya, manakala St Petersburg pula sebuah tempat yang 'amat indah', katanya.

Beliau berkata di Siberia, pelancong boleh minum terus air dari tasik paling dalam di dunia, Tasik Baikal, yang mempunyai kedalaman 1,620 meter iaitu hampir satu batu.

Tasik itu, yang mempunyai keluasan 31,727km persegi, merupakan tasik yang menakungi air paling banyak di dunia iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan air tawar di dunia.

Mengenai pendidikan, duta itu berkata kini kira-kira 3,000 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Rusia dalam pelbagai jurusan seperti perubatan dan kejuruteraan, manakala di Malaysia hanya terdapat 130 pelajar Rusia, kebanyakannnya melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam.

Beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di Rusia kerana kosnya yang berdaya saing dan tidak membebankan, berbanding di United Kingdom dan Amerika.

Ditanya pendapat beliau tentang Pergerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata ia suatu idea yang baik.

"Kesederhanaan menjadi kata kunci untuk zaman ini. Bagaimanapun, kami ingin tahu lebih lanjut mengenainya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment