Monday 26 March 2012

AKIBAT CEMBURU, LELAKI MATI DITIKAM



Oleh : WILLIE JUDE JUNAIDI

SEORANG lelaki tempatan mati selepas ditikam seorang lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Inabah Kamal, di sini Semporna, Jumaat lepas dipercayai akibat perasaan cemburu suspek terhadap mangsa yang menjalinkan hubungan dengan bekas isterinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.00 petang itu, mangsa Azman Kadir, 41, disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau pada jam 9.58 malam hari yang sama akibat kecederaan pada bahagian badan.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila suspek yang berumur 41 tahun terbabit cemburu kerana mensyaki bekas isterinya ada menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa.

Akibat terlalu cemburu, suspek telah pergi ke rumah mangsa lalu berlaku pergelutan dan akhirnya mangsa ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai di bahagian perut.

Selepas kejadian itu, suspek difahamkan terus melarikan diri manakala mangsa yang tidak sedarkan diri akibat ditikam terus dikejarkan ke hospital oleh jirannya.

Bagaimanapun, mangsa yang mengalami pendarahan teruk disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tawau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Asisten Superintendan Asisten Superintendan Zairolnizal Ishak ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya kini masih menjalankan siasatan.

“Polis juga kini sedang giat mengesan seorang lelaki warga asing berumur 41 tahun untuk membantu siasatan berhubung kes ini.

“Lelaki terbabit dikenali sebagai Asbi b. Ogo dan berdasarkan siasatan, alamat terakhir lelaki terbabit ialah di Kampung Batu, Semporna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan agar tampil membantu polis dalam siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment