Wednesday 21 March 2012

DEWAN KECOH, PERSOAL PSC LYNAS



Oleh : ANIS NAZRI

USUL berkaitan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji kes Lynas menghangatkan Dewan Rakyat, pagi kelmarin.

Ia bermula apabila berlaku percanggahan pendapat di antara ahli parlimen kerajaan dan Pakatan Rakyat yang masing-masing mempertahankan hujah mereka.

Dr. Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) ketika mencelah hujah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC ini, memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal Pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek Lynas.

"Hari ini kita berbincang tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri bahawa penubuhan PSC ini untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut. Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi, untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?" soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen BN dan Bebas cuba mengaitkan ketiadaan pakar nuklear daripada PAS, iaitu Dr. Che' Rosli Che' Mat (PAS-Hulu Langat) di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya berdiam diri sehingga beberapa tempoh sebelum meminta wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

"Jika benar PAS ikhlas, saya cabar PAS mencalonkan Ahli Parlimen Hulu Langat untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan. Jika tidak disenaraikan, ianya dianggap sandiwara semata-mata," tegas Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika berbahas.

Dalam pada itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mendakwa penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah, sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah.

Selain itu beliau meminta segala yang berkaitan projek itu di Gebeng, Kuantan dihentikan sehingga satu keputusan mengenai penubuhan PSC ini diputuskan.

Manakala, Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), ketika berbahas melahirkan kekecewaan apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inilah kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya. Itupun melalui laporan New York Times," kata beliau.

Sambil menegaskan projek berkenaan dibimbangi mendatangkan kesan dari sudut kesihatan, Dzulkefly berkata sedangkan oksigen sendiri jika berlebihan akan memberi kesan langsung kepada kerosakan retina yang boleh mencacatkan penglihatan, inikan pula bahan radioaktif yang menjadi soal pokok isu ini.

Sementara itu, di luar dewan ketika ditemui pemberita, Dzulkefly dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) 'disapa' James Dawos Mamit (BN-Mambong) yang mengajak mereka berbincang secara bersemuka tentang isu tersebut dengan nada emosi.

Biarpun beberapa kali ditenangkan Fuziah dan Dzulkefly, tindakan James yang menuding jari ke arah Dzulkefly menyebabkan pakar toksikologi itu menghentikan kenyataan kepada pemberita dan meminta James bertenang.

Sambil mengiringi James ke kereta, Dzulkefly terus bersoaljawab dengan James sambil diperhatikan petugas media dan parlimen.

Ketika ditanya perasaannya apabila dilakukan sedemikian, Dzulkefly berkata beliau tidak mengambil serius tentang perkara tersebut kerana beranggapan semua orang beremosi apabila berbicara tentang isu Lynas tersebut.

Keputusan mengenai penubuhan jawatankuasa terpilih itu akan disambung pada 2.30 petang ini dengan menteri menjawab segala perkara yang dibangkitkan.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengemukakan usul berkenaan penubuhan PSC, di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Turut menyertai perbahasan tersebut ialah Hamim Samuri (BN-Ledang), Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), Datuk Haron Idris (BN-Tangga Batu), Charles Santiago (DAP-Klang), Datuk Ismail Muttalib (BN-Maran), dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam).

No comments:

Post a Comment