Friday 23 March 2012

FUTSAL SUKAN SIHAT UNTUK BELIA



Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEJOHANAN Futsal Piala Pusingan James Miki anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seri Menanti, Beluran telah disertai 24 pasukan Futsal yang datangnya dari beberapa kampung di Beluran kelmarin.

Ketua Kampung Seri Menanti, KK Habirin Hassan yang juga selaku Pengerusi Penganjur Kejohanan tersebut menjelaskan, tujuan mengadakan kejohanan itu selain untuk merebut piala pusingan; juga menjurus kepada memupuk semangat kesukanan di kalangan remaja dan belia setempat.

Kata KK Habirin, ia juga merupakan aktiviti tahunan JKKK kampung tersebut yang menggalakkan para belia supaya mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut; secara tidak langsung boleh mengelakkan para remaja dan belia melibatkan diri dalam aktiviti songsang seperti melakukan maksiat dan sebagainya.

Bendahari Barisan Nasional (BN) bagi Labuk Sugut, merangkap Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Beluran, James Miki telah merasmikan kejohanan tersebut yang diadakan di gelanggang Futsal, Kampung Seri menanti.

Dalam ucapan perasmiannya, antara lain James menjelaskan dengan adanya kejohonan tersebut akan memberi dorongan kepada para belia supaya berkecimpung dalam pelbagai jenis sukan yang diminati, bukan sekadar untuk memupuk perpaduan yang erat di kalangan penduduk setempat; bahkan dapat menyihatkan jasmani dan rohani.

James berkata, melalui penglibatan anak-anak kampung dalam kesukanan, ia dapat melahirkan pasukan-pasukan yang bermutu, khususnya kejohanan futsal ke peringkat daerah dan negeri.

“Saya percaya dengan adanya penglibatan ramai remaja dan belia dalam sukan kali ini, secara tidak langsung mereka boleh mengindarkan diri daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti penagihan najis dadah,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment