Sunday 25 March 2012

GTP DORONG AHLI PKR SERTAI UMNO


Oleh : ABU BAKAR ESAH

KEBERKESANAN Program Tranformasi Kerajaan (GTP) yang membawa banyak manfaat kepada rakyat telah mendorong ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Beaufort untuk menyertai Umno.

Mantan Ketua Cabang PKR Baeaufort, Lajim Yusof yang meninggalkan PKR bersama 73 ahli yang lain itu berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya membawa perubahan besar kepada pembangunan negara ini.

“Kini tidak ada lagi perkara yang hendak diperjuangkan PKR. Semuanya telah Kerajaan BN lakukan untuk terus membangun dan membantu rakyat negara ini melalui GTP yang diilhamkan Najib dan ia telah terbukti dapat dilaksanakan dengan baik. Justeru itu kami secra beramai-ramai mengisytiharkan meninggalkan PKR dan menyertai parti Umno dan akan menyokong BN pada pilihanraya yang akan datang,” katanya selepas menyerahkan borang keahlian Umno kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun pada Program Bersama Rakyat di Beaufort, kelmarin.

Hadir sama pada program anjuran Belia/Beliawanis Kg Kitabu, Batu 60, Beaufort itu, Timbalan Pengarah JPKA, Mohd Nor Wahab; Ketua Daerah, Wong Samie; Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Amsir Dani; Penolong JPKA Sabah, Rokiah Salleh; Ketua bahagian PBS Klias, Jaimis Diji; Pengerusi Penganjur Puin Tingkor; Ketua Bahagian Gerakan Bahagian Beaufort, Robert Lee.

Sementara itu, Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu mengalu-alukan menerima baik penyertaan ahli-ahli PKR itu dan berharap mereka akan memberi sokongan padu kepada kerajaan BN demi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kerajaan BN memerlukan sokongan yang kuat daripada rakyat untuk meneruskan agenda kerajaan BN yang sentiasa berusaha untuk menjaga kepentingan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum dan kepercayaan agama di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment