Tuesday 20 March 2012

HORMATI HAK ASASI TAMBANUO




TANDA....Syarikat penceroboh tidak seharusnya memasang sebarang papantanda di Tanah Adat Tambanuo.

Oleh : JAMES AIK

APABILA Mahkamah Persekutuan pada 24 November 2011 mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan tidak ada kuasa perundangan mendengar kes saman yang dibawa oleh lima penduduk kampung berhubung permohonan Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR) di Kinabatangan; satu aktiviti mengingati sejarah tanah warisan nenek moyang Tambanuo telah dilakukan oleh seramai enam puluh orang Tambanuo di kampung Napagang.

Aktiviti tersebut diketuai sendiri oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Gabungan Pengurusan Tanah Tongod Tujuh Buah Kampung, Paulus Gahin dan Ketua Kampung Napagang, Putan Salag.

Tambanuo tersebut telah memasuki tanah NCR mereka untuk menuai dan mengeluarkan buah sawit yang ditanam oleh penceroboh yang diizinkan oleh kerajaan Barisan Nasional di Sabah sejak tahun 2002.

Selama sepuluh tahun, hak Tambanuo telah diganggu melalui pencerobohan menyebabkan kesukaran Tambanuo mengekalkan dan menguatkan perhubungan kerohanian tersendiri mereka dengan tanah yang dimiliki oleh mereka secara tradisi.

Kerajaan Barisan Nasional di Sabah berhak menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa untuk melindungi hak Orang Asal di Sabah. Kerajaan Barisan Nasional di Sabah mempunyai kuasa melindungi budaya, tanah dan cara hidup Tambanuo di Sabah.

Sehubungan dengan itu, Ketua Kampung Napagang, Putan Salag meminta supaya hak mereka terhadap tanah mereka dikembalikan. Beliau juga memohon supaya kerajaan baru selepas PRU 13 ini, akan mengutamakan hak Tambanuo kepada tanah mereka untuk dikembalikan kepada Tambanuo.

GEMBIRA.....Paulus Gahin dan Putan Salag bersama enam puluh Tambanuo gembira berada di tanah warisan mereka.

TERANG....Paulus Gahin menerangkan Tanah Adat mereka kepada salah seorang Staff daripada syarikat yang menceroboh tanah adat mereka.

PENJELASAN.....Salah seorang Staff syarikat meminta penjelasan lebih daripada Paulus Gahin.

Sebagai Pengerusi Jawatan Kuasa Gabungan Pengurusan Tanah Tongod Tujuh Buah Kampung, Paulus Gahin meminta pemimpin kerajaan sekarang supaya turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi Tambanuo setelah tanah mereka diceroboh.

"Selagi masalah tanah ini tidak selesai, kami akan terus berjuang mempertahankan tanah kami hingga ke titisan darah terakhir." Kata beliau.

Paulus meminta supaya kerajaan sekarang memberi perhatian serius terhadap masalah pencerobohan tanah mereka. Beliau juga mengharapkan supaya ada individu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terus menyokong mereka untuk menyuarakan dan menguatkan suara tuntutan dan perjuangan mereka.

"Tanah Adat di Sabah, khususnya di Tongod semakin habis diambil oleh syarikat-syarikat besar," akhiri beliau.

No comments:

Post a Comment