Monday 26 March 2012

IGP MINTA UBAH PERSEPSI PADA POLIS



ANGGOTA Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi kepolisan dengan memantapkan kualiti perkhidmatan demi kepuasan orang ramai, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata persepsi sesetengah masyarakat terhadap perkhidmatan polis yang didakwa tidak 'memuaskan' perlu ditangani bagi menjaga kredibiliti pasukan yang telah wujud sejak 205 tahun lalu.

"Usaha menangani persepsi bermula dari akar umbi, dan anggota yang berdepan dengan orang ramai atau 'frontliners' mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Dataran Merdeka malam radi.

Ismail berkata amalan integriti dalam diri setiap pegawai dan anggota polis akan menyerlahkan lagi sifat profesionalisme malah gandingan kedua-dua sifat itu, yang juga merupakan 'magna carta' PDRM, akan berjaya meningkatkan lagi persepsi positif masyarakat terhadap pasukan tersebut.

Beliau berkata PDRM amat mengalu-alukan semangat 'voluntarisme' di kalangan belia, penduduk kawasan perumahan, masyarakat sivil, penjawat awam dan sektor awam yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada polis dalam membanteras jenayah serta menjaga keharmonian rakyat.

Ismail berkata beberapa langkah awal telah dimulakan di ibu kota untuk mengimplementasi projek 'World Class Policing' untuk menjadikan Kuala Lumpur tersenarai dalam Global Top 20 sebagai bandar yang sesuai didiami menjelang tahun 2020.

"Sasaran PDRM ialah untuk menyediakan sistem keselamatan dan infrastruktur bertaraf antarabangsa dapat direalisasikan.

"Ini adalah sebahagian inisiatif penjenamaan semula PDRM untuk mencapai matlamat transformasi polis agar setaraf dengan agensi kepolisan di negara maju," katanya.

Beliau juga berkata tema "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" untuk sambutan Hari Polis kali ini dianggap satu ikrar untuk memperbaharui iltizam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelbagai lapisan masyarakat secara cekap dan berkesan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment