Wednesday 14 March 2012

JENAYAH REMAJA MEMBIMBANGKAN



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

JIKA dahulu kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah menengah ialah kes buli, tetapi hari masyarakat telah dikejutkan dengan pelbagai kegiatan jenayah berat dilakukan mereka termasuk samun, curi kenderaan, rogol, rompak dan sebagainya.

Sementara kes-kes yang melibatkan juvana ialah seperti pengedaran dadah, penyebaran gambar lucah di internet, telefon bimbit sehingga membimbangkan PDRM dan Kementerian Pelajaran.

Demikian dijelaskan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong semasa berucap di majlis Penutupan Perkhemaan Kor Kadet Polis di SMK Agama Sandakan. Teks ucapan beliau disampaikan oleh ASP Ahmad Badzli (gambar) di Sandakan, kelmarin.

Katanya, walaupun jumlah kes-kes sebegini adalah kecil, namun pihak PDRM mengambil langkah-langkah perlu bagi membendung gejala tersebut daripada terus berleluasa.

“Remaja juga haruslah pandai memilih kawan atau rakan sebaya kerana sememangnya remah mudah terpengaruh dengan rakan-rakan mereka.

"Sementara ibu bapa pula mesti mengambil tahu dengan siapa anak-anak mereka berkawan dan bukannya membiarkan anak-anak mereka jadi gelandangan sehingga terjebak dengan pelbagai aktiviti songsang,” ujarnya.

Katanya, Kor Kadet Polis telah ditubuhkan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada iaitu di bawah Seksyen 68, Akta Polis 1967 pada 2 Mac 1970.

“Penubuhan Kor Kadet Polis juga merupakan satu daripada kegiatan ko-kurikulum sekolah menengah yang diselaraskan oleh PDRM dan Kementerian Pelajaran Malaysia,” tambahnya

Marong menambah matlamat Kos Kadet Polis juga adalah untuk membentuk masyarakat khususnya para remaja melalui pelbagai aktiviti bagi meningkatkan disiplin diri, membina semangat jati diri untuk menyuntik semangat kerjasama dan patriotik; di samping memberi pendedahan dan kefahaman tentang peranan dan tugas kepolisian dan penguatkuasaan undang-undang untuk kepentingan masyarakat sejagat.

Program anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah dan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia dan dikelolakan oleh Sekolah Menengah Convent Cecilia telah disertai seramai 280 orang polis kadet yang membabitkan pelajar lelaki dan perempuan di 11 buah sekolah menengah di daerah ini.

Dua orang Kadet terbaik Surrazmie Inchi Ragam (lelaki) dan Dg Marazerahwati Sabturani (perempuan) masing-masing menerima cenderahati daripada pihak penganjur.

No comments:

Post a Comment