Sunday 25 March 2012

'KAMI BUKAN PENCEROBOH TETAPI PEMILIK'

PENDUDUK Kg. Sasalungon dan Manggarimot membidas kenyataan Dukiu Timbob yang mendakwa ada beberapa pihak yang turut melibatkan agensi kerajaan dan sektor swasta menceroboh Tanah Adat (NCR) yang diwarisi dari nenek moyang ratusan tahun yang lalu.

“Kami bukan penceroboh Tanah Adat (NCR), kami adalah penduduk asal sungai Nemukon, Rengit, Pinipi dan Ebah sejak turun temurun dari nenek moyang lagi,” begitulah kata-kata penduduk kampung berkenaan ketika ditemui selepas memberi keterangan kepada staf Jabatan Tanah dan Ukur yang membuat pemeriksaan di kawasan yang menjadi pertikian dua pihak itu.

Seorang penduduk, Mikat Ambarua 70, berkata, mereka adalah penduduk asal kawasan itu sejak dari nenek moyang lagi.

“Tiada istilah kami menceroboh dan tiada pihak swasta yang menceroboh kawasan sungai Nemukon dan Rengit,” kata Mikat.

Katanya, kawasan yang diterokai adalah miliki mereka sendiri sebagai penduduk asal di kawasan ini.

“Dakwaan dan tuduhan Dukiu yang bercakap sebagai AJK Tuntutan Tanah Adat merangkap jurucakap kedua-dua kampung iaitu Kg. Mansiat dan Lalapakon yang mengatakan terdapat penduduk kampung yang menjadi dalang dalam pencerobohan sebuah syarikat swasta dalam kawasan itu adalah tidak benar,” tegas Mikat.

Pada Isnin, Dukiu berkata, penduduk Kg. Mansiat dan Lalapakon kesal dengan tindakan beberapa pihak, yang turut melibatkan agensi kerajaan, menceroboh Tanah Adat mereka yang diwarisi diwarisi dari nenek moyang ratusan tahun yang lalu

Katanya, kawasan yang sedang diusahakan oleh sebuah syarikat swasta adalah termasuk dalam kawasan NCR Kampung Mansiat dan Lalapakon.

Dukiu dipetik sebagai berkata, jawatankuasanya sedang dalam usaha untuk menuntut kawasan tersebut termasuklah juga kawasan LIGS sebagai Tanah NCR selaras dengan peruntukan Ordinan Tanah Sabah Bab 68 dan bahagian IV: Seksyen 13, 14, 15, 65 dan 66.

“Kami sebagai orang asal berhak menuntut kawasan tersebut sebagai tanah warisan dari nenek moyang kami turun temurun berdasarkan bukti-bukti sejarah peninggalan nenek moyang kami yang pernah menetap di kawasan tersebut masih wujud sehingga sekarang ini,” kata Dukiu.

Jelasnya, masih terdapat kuburan, tanaman buah-buahan, tempat keramat, air masin serta nama-nama tempat dan anak-anak sungai yang masih kelihatan dan masih segar dalam ingatan orang-orang tua kami yang masih hidup dan sempat menetap di kawasan itu.

Dukiu turut menceritakan latar belakang penceroboh Tanah Adat Mansiat kawasan Nemukon yang dipelopori oleh penceroboh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan sebuah syarikat swasta.

Namun Mikat mendakwa, Dukiu tidak mempunyai hak menuntut NCR di kawasan berkenaan kerana dia (Dukiu) mempunyai tanah di kawasan yang lain.

“Tindakan Dukiu mengaitkan pencerobohan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di kawasan sungai Nemukon adalah tidak masuk akal kerana soal pencerobohan LIGS bab yang berlainan.”

“Kalau dia tuntut hak NCR di kawasan yang diterokai oleh LIGS dengan tanaman sawit seluas lebih kurang 3,000 ekar itu kami bersetuju, tetapi kalau dia tuntut hak NCR di kawasan kami, sudah tentu kami bersetuju,” jelas Mikat.

Selain Mikat, tiga lagi orang lama Kg. Sasalungon dan Manggarimot yang ditemui masing-masing menyatakan bahawa kawasan itu adalah tempat asal mereka dan tiada pihak syarikat swasta yang menceroboh.

“Kawasan yang dterokai adalah tanah kami dan hasilnya nanti kami juga yang dapat,” kata Buong Ambowoi salah seorang daripada mereka.

Buong berkata, orang lain tidak boleh campur dalam kawasan kami kerana pembahagian kawasan mengikut sempadan yang telah ditetapkan oleh nenek moyang mereka dahulu lagi.

Bagi Aru Maimah Kumpis, 74, dan Intang Ambowoi 80, mereka tidak banyak bercakap tetapi mengesahkan bahawa kawasan itu adalah telah diduduki oleh mereka sejak dari nenek moyang lagi.

Untuk rekod, pertikaian antara Dukiu dan John Muhamad mengenai kawasan itu telah dibicarakan oleh Mahkamah Anak Negeri Daerah Kecil Sook melalui tuntutan NCR pada 20 Januari 2008 dan Mahkamah memutuskan John salah seorang daripada penduduk Kg. Sasalungon yang berhak dalam kawasan itu.

Sementara itu Jabatan Tanah dan Ukur daerah memberi penjelasan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan.

Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) di sini Lee Sin Na ketika dihubungi kelmarin berkata, sebelum kes tersebut dikeluarkan dalam surat khabar, pihaknya telah menerima surat bantahan daripada Dukiu Timbob.

“Dan sebaik sahaja surat bantahahn rasmi itu telah diterima pendengaran kes telah dijalankan sebelum Dukiu mewar-warkan dalam surat khabar,” katanya.

Ekoran daripada paparan beberapa surat khabar tempatan katanya, pihak Jabatan Tanah dan Ukur di sini telah membuat pemeriksaan di kawasan yang menjadi pertikaian itu.

No comments:

Post a Comment