Friday 30 March 2012

KAMI SIASAT BANYAK, TAPI TAK DIDAKWA!


Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI (TMI)

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa terdapat kes rasuah yang telah disiasat tetapi tidak didakwa di mahkamah oleh pejabat peguam negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, ia berpunca kerana apabila sesuatu kes di bawa ke mahkamah, bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

"Tujuan SPRM ditubuhkan adalah untuk ambil tindakan terhadap orang yang lakukan rasuah. Kita tak boleh tangkap berdasarkan sentimen.

"Banyak kes yang disiasat tetapi tidak didakwa... Tak bermaksud tiada kes. Ada kes. Tapi bila (hendak) bawa ke mahkamah, mereka (Pejabat Peguam Negara) kata tak cukup bukti. Masyarakat kena faham.

"Tak timbul isu kita tak ambil tindakan terhadap 'ikan besar' atau tidak. Kita buat kerja siang malam. Kes rasuah rumit. Bukan mudah untuk dapat kerjasama orang ramai kerana tiada siapa yang nak bercakap," katanya pada wacana anjuran Sinar Harian di Shah Alam kelmarin.

Mohd Shukri juga berkata, kes rasuah berbeza dengan jenayah lain kerana ia melibatkan kawan rapat, rakan parti dan ahli keluarga yang tidak akan 'buka mulut'.

"Mereka tak kan bercakap. Siapa yang nak datang bercakap bila kita tanya? Kita tak ada kuasa untuk dakwa orang," katanya.

Shukri turut memaklumkan bahawa Malaysia antara negara yang paling banyak mengambil tindakan terhadap ahli politik dalam isu rasuah berbanding Singapura dan Hong Kong.

"Sejarah menunjukkan kita antara yang terbaik mendakwa ahli politik dalam rasuah. Undang-undang tak ikut sesiapa, tak lihat siapa dia, hakim atau ahli politik. Rasuah jenayah individu dan bukan lihat pada politik dia," katanya pada wacana Sinar Harian bertajuk 'Rasuah Politik: Persepsi atau realiti' di Shah Alam kelmarin.

Mohd Shukri yang berkhidmat 27 tahun bersama suruhanjaya itu berkata, sejak 1960-an sehingga kini, sudah ramai ahli politik yang telah diambil tindakan oleh SPRM.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan agar sebarang kes perlu dilaporkan terlebih dahulu kepada SPRM sebelum membuat apa-apa hebahan di blog atau sidang media.

"Ibarat kita nak masuk hutan memburu burung, lembu, gajah, tetapi pada masa yang sama kita bawa gendang. Belum sempat berburu, semua binatang dah lari," katanya sambil disahut gelak ketawa oleh hadirin.

Sementara itu, ketika ditanya oleh hadirin mengenai penggunaan kenderaan milik kerajaan semasa pilihan raya diadakan, Mohd Shukri berkata sehingga kini tiada garis panduan khusus mengenai perkara itu.

"Bila parlimen bubar sepatutnya perlu ada satu kerajaan sementara ditubuhkan untuk mengambil alih negara. Mengenai penggunaan kenderaan itu, saya rasa bukan hanya digunakan pada satu parti sahaja kerana ia termasuk kenderaan kerajaan negeri.

"Sekarang garis panduan lengkap tiada tetapi kita boleh usulkan pada kerajaan supaya adakan panduan yang tegas berhubung penggunaan kenderaan kerajaan," katanya.

Rafizi Rela Kerja Separuh Masa Dengan SPRM

Sementara itu itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pula mencadangkan agar peguam negara ditukar bagi memudahkan siasatan dilakukan oleh SPRM.

Menurut Rafizi, negara memerlukan seorang peguam negara yang jujur serta bekerjasama dengan SPRM agar setiap kes boleh dihadapkan ke mahkamah.

"Kalau saya jadi Perdana Menteri... Tapi saya tak jadi lagi... Tanpa ubah perlembagaan, kita boleh tolong pegawai SPRM dengan (cara) menukar Peguam Negara. Peguam Negara yang ada sekarang mempunyai rekod buruk, terkenal dengan memerapkan 20, 30 fail.

"Kita perlu cari peguam negara yang jujur yang akan bekerjasama dengan SPRM supaya, tidak kisah Pakatan Rakyat ke, BN atau pensyarah, kalau dia rasuah, akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Rafizi bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd Shukri mengenai saksi yang sukar 'buka mulut' kerana masyarakat kini sudah berubah dan berani untuk membongkar sesuatu kes.

Merujuk kepada isu Pusat Fedlot Nasional, Rafizi berkata, hampir kesemua maklumat dan dokumen diberi oleh orang ramai.

"Masyarakat dah berubah. Sekarang ni kami sampai tak cukup tangan nak siasat. Maklumat, dokumen orang bagi tiap-tiap hari. Masyarakat kita telah ke depan kerana mereka yang rasa bahana dan jahanamnya gejala rasuah ini.

"Saya jika diberi peluang, rela kerja separuh masa dengan SPRM kalau diberi jaminan untuk menyiasat menteri yang berprofil tinggi ini," katanya.

10 comments:

  1. Hope that the MACC will fulfill their duty to beat corruption within the country so that we may see lesser corruption cases in the future.

    ReplyDelete
  2. I understand that it is difficult for MACC to take action if the evidence in hand is not sufficient. Hope that they will do their best to investigate each cases nevertheless.

    ReplyDelete
  3. Susah juga ni kalau tak cukup bukti. kerjasama pun kurang.senang2 saja perasuah tu terlepas.

    ReplyDelete
  4. Tidak cukup bukti, cukupkanlah bukti tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pihak SPRM harus berusaha lebih untuk mengkumpul segala bahan bukti yang mengcukupi.

      Delete
  5. dalam nak siasat sesuatu kes dan nak bawa ia ke Mahkamah, ia perlukan bukti dan saksi yang kukuh, tanpanya, tindakan sukar nak diambil.

    ReplyDelete
  6. Memang susah siasat kes rasuah, lebih2 lagi yang melibatkan 'ikan2 besar'. Diharap pihak SPRM lebih bijak menangani masalah seperti tu. Mudah2an akan lebih banyak kes dapat diselesaikan.

    ReplyDelete
  7. Itulah masalah yang dihadapi oleh SPRM. Mereka tidak bukti kukuh untuk membawa kes kemahkamah. Mungkin banyak siasatan dibuat tapi yang didakwah hanya sedikit.

    ReplyDelete
  8. Maka kita harap orang awam faham akan penerangan ini yang mana bagi menepis pelbagai tuduhan yang diberikan kepada SPRM.

    ReplyDelete
  9. ada kes2 yang tidak dilaporkan terus kepada SPRM, sebaliknya diwar2kan di media.. tindakan ini juga boleh mengganggu siasatan SPRM dimana pihak tertuduh mempunyai banyak masa untuk memansuhkan bukti2 kesalahan mereka sebelum disiasat oleh SPRM..

    ReplyDelete