Friday 23 March 2012

KG. BATU 60, BEAUFORT SERING TERPUTUS HUBUNGAN



PENDUDUK Kampung Batu 60, Beaufort mengadu sedang manghadapi masalah terputus hubungan jalanraya setiap kali banjir kilat berlaku. Kesulitan ini berpunca daripada ketiadaan struktur jambatan yang sesuai dibina menyeberangi sungai selebar lebih 20 kaki itu sebagai laluan utama ke SK Batu 60, Beaufort.

Setelah menerima aduan daripada penduduk kampung, Pengerusi DAP Beaufort Mohd Jamil Jakaria telah memeriksa ke lokasi dan mendapati bahawa ruang aliran air di bawah jambatan adalah terlalu sempit.

Keadaan ini akan mengakibatkan aliran air beserta bahan-bahan hanyut tersekat lalu melimpah ke atas jalanraya. Limpahan air yang sangat banyak dari kawasan bukit cukup untuk menenggelamkan jalanraya di sekitar laluan ini.

Seorang wakil penduduk telah membuat aduan dan rayuan melalui surat kepada pihak berkuasa, tetapi hingga ke hari ini tiada tindakan telah diambil. Kelewatan pihak berwajib untuk memberi respon positif menyebabkan para penduduk merasa kecewa.

Dari itu, Jamil menggesa pihak-pihak yang berkenaan supaya meneliti permasalahan penduduk berkenaan dan harus mengambil tindakan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment