Wednesday 7 March 2012

MEDIA PUTAR BELIT JAWATANKUASA PEMANDU

Oleh : DATUK MUSTAFA ALI

SAYA kesal dengan laporan sesetengah media hari ini ekoran pengumuman pembentukan jawatankuasa pemandu semalam. Ia berlaku samada kerana tidak faham atau sengaja memutar belitkan fungsi sebenar Jawatankuasa Pemandu ini.

Ini kerana kuasa tertinggi disesebuah negeri adalah Majlis Mesyuarat Kerajaan atau exco yang dipengerusikan Menteri Besar atau Ketua Menteri, manakala di peringkat pusat pula Jamaah Menteri atau kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Tiada jawatankuasa apapun yang boleh mengatasi kuasa exco dan kabinet.

Oleh itu, penubuhan Jawatankuasa Pemandu ini tiada kaitan untuk ambilalih kuasa menteri besar dan sememangnya tiada kuasa untuk campur tangan pentadbiran negeri.

Ia hanya bersifat penasihat ('advisery') dalam hal-hal yang perlukan pandangan pimpinan berkaitan dengan perancangan dan program yang dibuat.

Jawatankuasa pemandu ini juga bukan khusus untuk menasihati individu tertentu dalam pentadbirannya tetapi kepada semua yang memerlukan pandangan pimpinan parti.

Contohnya PAS telah mula menubuhkan jawatankuasa pemandu ini pada tahun 1990 apabila PAS menang semula di Kelantan.

Saya ketika itu dilantik sebagai salah seorang anggota jawatankuasa pemandu ini dan tugas kami hanyalah menjadi jawatankuasa penasihat untuk kerajaan negeri sahaja.

Selepas itu, ia terus kekal untuk negeri yang dimenangi PAS dalam pilihan raya umum 1999 dan 2008. Tetapi apabila keadaan sudah stabil, kita tidak meneruskan peranan ini.

Kini kita hidupkan kembali apabila ia ada keperluan untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada pimpinan kerajaan negeri.

Oleh itu tidak seharusnya berbangkit tafsiran salah tentang fungsi jawatankuasa pemandu ini dan kita harap semua pihak memahami soal ini.

PAS akan bermesyuarat pada 12 Mac ini untuk membuat perlantikan anggota jawatankuasa pemandu ini.

(NOTA : Datuk Mustafa Ali merupakan Setiausaha Agung PAS)

No comments:

Post a Comment