Thursday 15 March 2012

MPS SEMAKIN TIDAK RELEVAN


BERLUBANG…..Jalan Kawasan Taman Mesra berlubang di sana sini tidak diambil peduli oleh MPS.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEROSAKAN jalan di kawasan perumahan Taman Mesra yang berlubang di sana sini sejak setahun tidak diselenggarakan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah menimbulkan kemarahan di kalangan penduduk setempat.

Seorang penduduk, Hj Andy Jakaria Pelawong berkata, masalah kerosakan jalan ini sudahpun dimaklumkan kepada pihak MPS berkali-kali, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang reaksi atau tindakan diambil.

“Tidak dinafikan, tahun lalu pihak syarikat kontraktor yang dilantik oleh MPS datang menimbus lubang dengan batu-batu merah ke atas jalan yang berlubang-lubang itu tetapi tidak sampai sebulan, batu-batu tersebut hanyut dibawa air hujan,” jelas Hj Andy yang kesal kerana MPS tidak menampal lubang berkenaan dengan premix.

Memandangkan pilihanraya umum ke 13- (PRU-13) sudah semakin dekat, kata Haji Andy, beliau mewakili lebih 1,000 penduduk Taman Mesra merayu agar MPS mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan sebelum dijadikan isu dan modal propaganda politik pembangkang.

"Saya amat kesal, disebabkan perbuatan segelintir pegawai yang kurang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Presiden MPS Ir Datuk James Wong, maka kerajaan BN ditohmah sebagai tidak prihatin kepada rakyat," kata Haji Andy yang bimbang isu ini akan menyebabkan rakyat mengalih sokongan kepada pembangkang.

No comments:

Post a Comment