Tuesday 6 March 2012

NGO ANJUR DEMO TANAH ADAT 12 MAC

SEKUMPULAN NGO akan mengadakan perhimpunan besar berhubung isu tanah adat di Sabah yang didakwa kritikal dengan masalah pencerobohan, rampasan dan penipuan pemilikan pada 12 Mac ini.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH) berkata, himpunan '123 Bangkit' itu akan disertai kumpulan NGO dan aktivis parti politik.

"123 Bangkit adalah bersempena tarikh 12 Mac 2012 yang juga merupakan tarikh kebangkitan rakyat menghadapi Kerajaan Negeri Sabah," kata Setiausaha TABAH, Lahirul Latigu.

Lahirul yang juga ketua Pemuda PAS Sabah berkata, isu tanah di negeri itu seolah tiada penghujung dan banyak yang dibicarakan di mahkamah.

Memetik statistik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 2005-10, Lahirul berkata, Sabah mencatatkan aduan tertinggi sebanyak 977 kes berbanding Semenanjung Malaysia (654 kes) dan Sarawak (251 kes).

"Angka ini menunjukkan Sabah berada di kedudukan yang agak kritikal mengalami masalah ini," katanya sambil mendakwa perhimpunan sama dua tahun lalu berjaya menghimpunkan hampir 5,000 peserta.

Lahirul berkata, pada 18 November tahun lalu, TABAH sudah menyerahkan memorandum berkaitan kepada kerajaan negeri tetapi tiada sebarang perkembangan sehingga kini.

TABAH ditubuhkan pada 12 Mac tahun lalu bagi membantu menyelesaikan masalah tanah, terutama isu berkaitan tanah adat.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyokong penuh usaha badan NGO, Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat (123 Bangkit).

DPPNS tampil menyahut kebangkitan ini dengan akan mengerakkan hampir 1,000 ahli dan pimpinan pelbagai peringkat; sama ada peringkat negeri, kawasan atau cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan '123 Bangkit' bagi menyatakan sokongan dan memperjuangkan keadilan rakyat.

DPPNS turut mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak NGO, pertubuhan politik dan orang perseorangan dalam menyahut semangat ini. Himpunan aman ini hendaklah dijadikan sebagai salah satu medan menyuarakan pandangan dan perhatian rakyat secara keseluruhannya setelah pelbagai cara dan alternatif dilakukan bagi menyelamatkan tanah rakyat daripada terus dicerobohi dan dirampas.

Apa yang pasti ialah, memorandum demi memorandum telah dihantar namun apa yang mengecewakan ialah perhatian daripada Kerajaan Negeri Sabah tidak menyeluruh dan disifatkan sebagai ‘sambil lewa’.

Justeru, DPPNS mengharapkan kerjasama pasukan keselamatan dan peserta himpunan untuk memberikan komitmen terbaik sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas himpunan itu berjalan. Ia sebagai cerminan kepada sebuah negara dan negeri yang berdemokrasi.

No comments:

Post a Comment