Sunday 11 March 2012

PENDEKATAN KOMPREHENSIF TANGANI BIL HOSPITAL



KERAJAAN mengambil beberapa pendekatan komprehensif dalam menangani masalah bil tidak berbayar di semua hospital awam di Sabah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata antaranya ialah dengan memastikan pesakit membayar terlebih dahulu separuh daripada jumlah kos rawatan sebelum dimasukkan ke wad.

"Selain itu, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memperkenalkan insuran perubatan yang wajib diambil oleh majikan yang menggaji pekerja asing bagi mengurangkan bil tidak berbayar oleh pesakit warga asing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rosnah mengulas dakwaan Penolong Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong baru-baru ini bahawa kerajaan menanggung kerugian RM100 juta akibat bil tertunggak.

Timbalan menteri itu tidak menafikan kerugian yang ditanggung kerajaan, namun jumlah sebenar hanya suku daripada apa yang didakwa oleh pihak pembangkang itu.

Menurutnya, dari 2009 hingga 2011 jumlah tunggakan bayaran bil di hospital kerajaan di seluruh negeri ialah RM25.834 juta termasuk kira-kira RM21.540 tunggakan pesakit warga asing dan lebih RM4.24 juta oleh warganegara.

"Hospital Likas mencatatkan tunggakan tertinggi berbanding 22 hospital lain dengan nilai RM8.171 juta, diikuti Hospital Tawau RM6.120 juta; Hospital Lahad Datu RM3.307 juta; Hospital Dutchess of Kent, Sandakan; RM2.4 juta dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu RM2.162 juta," katanya.

Rosnah meminta pihak pembangkang menyumbangkan idea konstruktif untuk faedah rakyat bukannya menuduh kerajaan tanpa terlebih dahulu memeriksa perkara sebenar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pembinaan Hospital Queen Elizabeth 1 yang bernilai RM273 juta kini sudah 47 peratus siap dan hospital dijangka beroperasi suku pertama 2013. (BERNAMA)

10 comments:

  1. begiti byk bil tertunggak dan kebanyakan ia bil dari PATI, PATI mmg suka lari dari membayar bil. sebaiknya minta mereka byr terlebih dahulu.

    ReplyDelete
  2. Setuju dengan cadangan memperkenalkan satu insurans untuk majikan yang mengambil orang asing sebagai pekerja. Barulah perubatan dapat dibayar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Majikan memang wajar bertanggungjawab ke atas pekerja dengan menyediakan insuran buat mereka. Jika majikan enggan, mereka layak tidak menggunakan pekerja asing.

      Delete
  3. Diharapkan masalah bil hospital tertunggak di Sabah disebabkan orang asing akan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik supaya kerajaan Sabah tidak menanggung kerugian.

    ReplyDelete
  4. Kerajaan perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah tunggakan Bil ini.

    ReplyDelete
  5. Apa yang dikatakan oleh pembangkang hanya tipu semata-mata. Tidak sampai pun RM100juta bil tertunggak.

    ReplyDelete
  6. Pendekatan yang sesuai dan berkesan harus diperkenalkan untuk menangani masalah tu.

    ReplyDelete
  7. jika pembangkang mengambil alih kerajaan negeri Sabah, adakah mereka akan mengabaikan pesakit dikalangan warga asing?? adakah mereka tidak akan menerima pesakit dikalangan warga asing?? sekiranya ya, adakah pada waktu itu, pejuang hak asasi manusia akan menentang tindakan kerajaan pembangkang??

    ReplyDelete
  8. kalaupun mahu membangkang, sekurang2nya tampillah dengan idea yang bernas dan berkesan untuk menyelesaikan masalah itu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pihak pembangkang sepatutnya bersama2 dengan kerajaan berusaha mencari jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah bil tertunggak ini. Lagipun, ini untuk kepentingan bersama juga.

      Delete