Friday 23 March 2012

PENDUDUK TUNGKU BAKAL NIKMATI PEMBANGUNAN



AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said berkata, penduduk di kawasan Tungku bakal menikmati pelbagai kemudahan pembangunan prasarana apabila projek dibawah Penyelenggaraan Infastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dilaksanakan.

Selain itu katanya, ia secara tidak langsung akan turut memberi kesan kepada sosio-ekonomi penduduk di kawasan itu sekaligus diharap dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Apabila projek jalan di kampung-kampung dilaksanakan kelak, maka ini akan memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk di kawasan Tungku terutama bagi yang terlibat dalam sektor pertanian kerana ia akan memudahkan mereka untuk membawa keluar hasil-hasil pertanian dan sebagainya dengan lebih cepat.

“Inilah bukti keprihatinan pihak kerajaan dengan mendahulukan kepentingan rakyat apabila semua program pembangunan dijalankan yang melibatkan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Undian PIA dan PIAS di Pejabat Daerah Kecil Tungku, kelmarin yang melibatkan kehadiran seramai 26 kontraktor bagi menyertai undian projek yang diselia oleh kakitangan Pejabat pembangunan Negeri Sabah.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, Datuk Haji Matusin Sunsang; Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku, Ibrahim Haji Abd Hakim; Pemimpin Kemajuan Rakyat, Datu Baniamin Datu Jamaluddin dan Ketua Daerah, Abdillah Hamzah.

Dalam pada itu, Suhaili berharap agar semua kontraktor yang berjaya mendapat projek undian pada tahun ini itu dapat menjalankan kerja-kerja seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPMS).

Tegasnya, jika projek pembangunan tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan maka kontraktor terbabit mungkin boleh disenaraihitam oleh pihak PPNS.

“Apabila kontraktor telah disenaraihitamkan, kontraktor tersebut tidak boleh mengikut undian projek dimasa-masa akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap sistem pemilihan dan undian yang dijana melalui sistem pangkalan data komputer itu akan memberi kepuasan dan agihan adil kepada semua kontraktor kelas F berdasarkan prestasi dan kredibiliti sesebuah syarikat.

No comments:

Post a Comment