Friday 23 March 2012

PERGINYA MAHAGURU KEWARTAWANAN



KEPULANGAN ke rahmatullah tokoh wartawan Tan Sri Mazlan Nordin merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan, kata Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Beliau menyifatkan Mazlan, 86, yang meninggal dunia Khamis, sebagai mentornya kerana bertanggungjawab membuka peluang kepadanya untuk berkhidmat di Bernama pada 1971 ketika Mazlan menjadi ketua pengarang agensi berita nasional itu.

"Bagi saya, beliau merupakan wartawan Melayu pertama yang sentiasa memberi inspirasi dan bertanggungjawab membantu wartawan lain.

"Allahyarham amat komited dan bersikap profesional walaupun sehingga selepas bersara dan menjadi kolumnis di Utusan Malaysia," kata Abdul Rahman yang juga pernah menjadi Ketua Pengarang Bernama.

Mazlan merupakan Ketua Pengarang pertama Bernama selama tiga tahun mulai 1970 dan pernah menjadi Pengerusi Bernama selama lapan tahun sejak tahun 1987.

Abdul Rahman berkata Mazlan merupakan seorang ketua yang baik yang sering menghargai kerja keras orang lain dan bersikap adil kepada semua pekerjanya.

Seorang lagi bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, menyifatkan Mazlan sebagai seorang 'mahaguru' dalam bidang kewartawanan dan merupakan contoh terbaik kepada wartawan baru di negara ini.

Azman berkata beliau telah ditemuduga oleh Mazlan di Kuching ketika memohon jawatan pemberita kadet di Bernama pada tahun 1971.

Menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan negara, beliau turut merakamkan rasa terhutang budi kerana Mazlan juga merupakan teman beliau yang aktif dalam Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata jasa Mazlan dalam bidang kewartawanan tidak dapat dilupakan kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengasaskan Hadiah Kewartawanan Malaysia, selain mengabdikan diri pada kerjaya itu ketika hayatnya.

"Beliau tidak boleh ditukar ganti dan semua generasi wartawan hari ini sepatutnya menghargai dan mencontohi jasa dan sumbangan yang telah beliau berikan sebagai wartawan dan juga bekas Pengerusi MPI," katanya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Tan Sri Hashim Makarudin pula ketika dihubungi berkata beliau pernah berkhidmat bersama Mazlan di Bernama dan banyak belajar daripada Allahyarham.

"Disebabkan semangat dan minat mendalamnya dalam bidang penulisan dan kewartawanan, beliau terus menulis sehinggalah ke akhir hayatnya," katanya merujuk kepada kolum Mazlan di akhbar Utusan Malaysia.

Mazlan mendapat pendidikan di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) pada 1939 tetapi terpaksa meninggalkan alam persekolahan akibat Perang Dunia Kedua.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu di Kedai Buku Yahaya Ariff & Sons di Kuala Kangsar dan dari situ, minat beliau dalam bidang kewartawanan mulai ditumbuh.

Beliau pernah bertugas di akhbar Utusan Melayu sebelum ke Voice of America, kemudian kembali ke Utusan Melayu, ke akhbar Berita Harian, seterusnya ke Bernama, sebelum kembali ke Utusan Melayu dan kemudian menjadi pengerusi Bernama.

Beliau telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang komunikasi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana jasanya kepada bidang kewartawanan selain dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Malaysia pada tahun 2002 dan Tokoh Wartawan Terbilang UKM 2009.

Selain itu beliau turut dianugerahkan Tokoh Wartawan Malaysia pada tahun 2002 dan Tokoh Wartawan Terbilang UKM 2009.

Mazlan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 4.15 petang tadi. Allahyarham meninggalkan empat anak lelaki dan seorang perempuan serta empat orang cucu.

Jenazah Allahyarham tiba di rumah anak perempuannya itu di Seksyen 16 Petaling Jaya pada kira-kira pukul 8 malam selepas dimandikan dan dikafankan di Masjid Datuk Kamaruddian di Jalan 222, Petaling Jaya.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira pukul 10 pagi ini. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment