Sunday 25 March 2012

RM1.4 BILION UNTUK WARGA ISTIMEWA



KERAJAAN memperuntukkan sejumlah RM1.4 bilion bagi membantu golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal di seluruh negara pada tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata daripada jumlah itu, RM478 juta diperuntukkan bagi membantu 135,000 warga emas melalui bantuan bulanan RM300.

Berucap pada Majlis Mesra Rakyat dan Pelancaran Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas di Padang Awam Desa Rhu, Sikamat, di sini Sabtu, beliau berkata bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk menentukan bahawa jaringan keselamatan sosial di negara ini dapat perkukuhkan.

"Kita tidak boleh mengamalkan dasar negara kebajikan yang diamalkan oleh negara-negara Barat, yang hari ini ekonomi mereka sudah merudum, kerana tanggungan itu tidak dapat ditampung.

"Oleh itu, kita tidak boleh pilih jalan ini dan kita perlu memperkuatkan jaringan keselamatan sosial kita melalui program Kebajikan Rakyat 1Malaysia, melalui bantuan-bantuan seperti mana yang telah kita lalukan termasuk Khidmat Bantu di Rumah, Unit Khidmat Penyayang Warga Emas dan lain-lain bantuan," katanya.

Katanya walau pun kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk golongan warga emas, bantuan paling besar yang harus disumbangkan adalah daripada individu yang merupakan anak-anak kepada warga emas.

Mengenai kempen itu, Perdana Menteri berkata ia merupakan satu program yang amat baik kerana tugas menjaga dan membantu golongan tua tidak harus diletakkan pada kerajaan sahaja, sebaliknya anak-anak sendiri wajib menjalankan tanggungjawab.

Sebagai anak, kata beliau perasaan kasih sayang dan rasa terhutang budi kepada ibu bapa perlu dikekalkan dan tidak boleh dikompromi sama sekali.

"Mereka ini telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, ibu kita melahirkan kita dan mengandungkan kita selama sembilan bulan, tentu sekali mereka ini perlu kita jaga sewaktu mereka sudah berumur.

"Inilah yang mesti kita tanam dalam masyarakat kita. Jangan simpan ibu bapa kita di rumah orang tua. Walaupun tidak dapat dielakkan, tapi cubalah ikhtiar supaya ibu bapa kita tidak keseorangan di rumah warga emas dan dapat tinggal dengan kita," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata pada 2010, sebanyak 2.1 juta orang atau 7.5 peratus dari rakyat Malaysia terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Menjelang tahun 2020, angka itu dijangka meningkat kepada 3.2 juta orang atau 9.5 peratus dan akan terus mengunjur sehingga 15 peratus menjelang 2030.

"Cuba bayangkan, kita akan ada satu cabaran baru iaitu dalam masyarakat kita kumpulan warga emas ini akan menjadi lebih besar lagi kerana tahap kesihatan bertambah baik dalam negara kita. Bila tahap kesihatan kita bertambah (baik) jumlah warga emas juga akan bertambah," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment