Wednesday 21 March 2012

SARAWAK PERKETAT KAWALAN SEMPADAN



TANDATANGAN......Wan Abdullah (duduk) sambil diperhatikan oleh yang lain sedang menandatangani buku pelawat pada Majlis Pelancaran Ops Megah Siri 2/2012 di Kem Batalion Ke-10 PGA di Sibu, semalam.

SARAWAK melalui Ops Megah akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Indonesia bagi mencegah aktiviti penyeludupan atau sebarang bentuk ancaman.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Datuk Wan Abdullah Tuanku Said berkata, empat jabatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama memantau keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia sekali gus dapat mengurangkan jenayah seperti penyeludupan, pendatang tanpa izin serta pemerdagangan manusia.

“Ops Megah yang dijalankan bersama empat jabatan itu diharap dapat mengurangkan kadar jenayah serta memastikan keadaan keselamatan sempadan bebas daripada apa-apa jua jenayah.

“Operasi bersepadu dan kerjasama ini merupakan suatu usaha untuk memperkasakan keselamatan negara demi untuk memenuhi aspirasi serta agenda negara dalam berganding bahu menjaga keamanan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Ops Megah Siri 2/2012 di Kem Batalion Ke 10 PGA di Sibu, semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Panglima 9, Briged Datuk Stephen Mundaw, Pengarah JIM Negeri Sarawak, Datu Robert Lian dan wakil Pengarah Jabatan KDRM Mohd Yunus.

Menurutnya, dengan usaha bersepadu itu ia telah banyak menyumbang kepada penurunan kadar jenayah yang ketara serta mengurangkan perasaan ‘Fear Of Becoming The Victim Of Crime’ dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi PDRM dan ATM amnya.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada ‘National Blue Ocean Strategy (NBOS)’ atau Strategi Lautan Biru yang dimulakan pada penghujung tahun lalu.

“Menerusi penerapan pemikiran NBOS, agensi kerajaan dapat mencapai objektif-objektif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan kos yang minimum melibatkan pemikiran di luar kebiasaan dengan mengaplikasikan cara-cara yang kreatif dan inovatif,” katanya.

Bagi tujuan Ops Megah ini jelasnya, beliau amat yakin pasukan keselamatan akan lebih komited dan dapat memberi sokongan sepenuhnya malah sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam tugasan yang diamanahkan.

“Marilah kita bekerjasama dalam satu pasukan secara ikhlas dan progresif bagi memacu pasukan kita ke tahap kejayaan yang lebih cemerlang.

“Saya berharap semua pegawai dan anggota yang ditugaskan memahami dan menghayati sepenuhnya objektif penugasan yang akan dijalankan.

“Semoga kita akan terus kekal sebagai pasukan yang sentiasa bersiap sedia dalam apa keadaan sekalipun,” tambah beliau. (Utusan Borneo)

No comments:

Post a Comment