Tuesday 20 March 2012

SEMPORNA, 'LAND OF RUBBISH!'



Oleh : SHAIMON S JUMADI

ISU sampah semakin mengatasi isu Jambatan Pulau Bum Bum, terutama di kalangan pelancong asing yang menjadikan 'Sampah' sebagai isu menarik untuk dibahas di Facebook, Skype dan Twitter.

Pembuangan sampah tanpa kawalan, pengurusan sampah yang tidak cekap, sistem pelupusan sampah secara konvesional dan sikap masyarakat yang membudayakan 'tong sampah terbang'; menimbulkan masalah yang tidak dapat diselesaikan Majlis Daerah Semporna (MDS).

Salah satu tempat pelupusan sampah haram yang paling popular ialah berdekatan Sekolah Rendah Pekan II Semporna yang bukan sahaja membawa kesan negatif kepada alam sekitar; malah kepada kanak-kanak dan tenaga pengajar sekolah yang tidak berdosa sehingga mengganggu pelajaran mereka.

Seorang penduduk, Nafnah Aying, 36, mendakwa mereka sudah menemui jalan buntu kerana setiap aduan yang mereka failkan kepada pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan NGO hanya bagaikan mencurah garam ke lautan.

"Kita mintalah kerajaan prihatin dengan masalah pencemaran sampah yang memalukan ini kerana sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu. Bukan saja bau busuk tetapi asap daripada pembakaran terbuka telah mengganggu tumpuan guru dan murid-murid yang sedang belajar, ” kata Nafsah.

Nafsah mendakwa, beliau mewakili 1,000 penduduk kampung berhampiran merayu agar MDS dan Pejabat Daerah Semporna mencari jalan bagi mencari tapak baru yang agak sesuai dan jauh dari kampung serta sekolah sebagai tempat pelupusan sampah.

"Saya juga berharap agar tiga ADUN di Semporna dan seorang ahli parlimen prihatin terhadap masalah yang kami hadapi dan bantulah kami atasi masalah pencemaran ini," kata Nafsah yang turut menggesa Jabatan Alam Sekitar menguatkuasa undang-undang, termasuk mengheret MDS ke mahkamah bagi memastikan amalan tidak sihat ini dapat dihentikan serta merta.

No comments:

Post a Comment